Undi 18, Pendaftaran Automatik Dilaksanakan Sebelum 31 Disember

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik akan dilaksanakan sebelum 31 Disember ini, manakala perundangan berhubung antilompat parti dan pengehadan tempoh Perdana Menteri dicadang dibawa ke Parlimen sebelum Julai tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata demikian bagi menjelaskan status terkini pelaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani pada 13 September lalu.

Beliau berkata pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik itu berdasarkan keputusan Jemaah Menteri serta Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September.

“Bagi Undi 18 kita tidak ada pilihan, rang undang-undang ini mesti dilaksanakan sebelum tamatnya persidangan ini, oleh kerana hakim sudah menetapkan, kalau kita tidak melaksanakan maknanya Perdana Menteri, kerajaan Malaysia akan (dianggap) menghina mahkamah,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi berkata, bagi perundangan antilompat parti dan pengehadan tempoh Perdana Menteri, ia memerlukan kajian dan sesi libat urus yang terperinci dan tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

Kredit: Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *