TUMPAT – Polis Kelantan mengeluarkan sebanyak 5,368 kompaun ke atas premis dan individu kerana pelbagai kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi tempoh Mac tahun lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lebih 80 peratus daripada jumlah itu membabitkan pelanggaran protokol kesihatan.
Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan sosial, tidak mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera dan tidak menyediakan cecair pembasmi kuman.
“Kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Akta Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 yang boleh dikenakan kompaun antara RM1,500 hingga RM2,000.
“Kebanyakan kompaun yang dikeluarkan adalah pada tahun lalu dan tahun ini kita dapati tahap pematuhan SOP dalam kalangan rakyat Kelantan semakin meningkat.
“Hasil pemantauan, tahap pematuhan SOP masyarakat negeri ini di antara 95 hingga 98 peratus iaitu di Pasir Mas dan Gua Musang merekodkan 98 peratus, manakala Pasir Puteh serta Bachok 95 peratus,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasminan Surau Ar-Rasyidin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini, hari ini.
Pada perkembangan yang lain, Shafien berkata, lebih 50 peratus pegawai dan anggotanya sudah mengambil dos penggalak sehingga semalam.
Katanya, setakat ini seramai 2,010 orang daripada lebih 4,000 pegawai dan anggota yang sudah mengambil dos penggalak.
“Pengambilan dos penggalak ini secara berterusan membabitkan semua daerah. Pengambilan dos ini amat penting kerana tugas polis yang perlu berdepan dengan orang ramai dan dilakukan untuk jangka masa panjang termasuk persediaan banjir,” katanya.
Kredit: myMetro Online