Hujan Punca Bekalan Sayur Kurang, Harga Naik

KUANTAN – Kekurangan bekalan pelbagai jenis sayuran daripada pembekal disebabkan faktor cuaca atau musim hujan menjadi punca kenaikan harga sayur secara mendadak di Pahang.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, itu antara punca yang dikenal pasti selepas menjalankan siasatan terhadap rungutan daripada peniaga dan pengguna.

Menurutnya, selain bekalan tempatan, beberapa negara pengeluar bagi sayuran import turut mengalami fenomena cuaca sejuk melampau menyebabkan bekalan sayuran semakin kritikal.

“Saya dimaklumkan harga sayuran menjadi mahal disebabkan permintaan tinggi daripada peniaga dan pembekal gagal menyediakan bekalan mencukupi.

“Disebabkan itu, peniaga terpaksa membeli bekalan sayuran pada kadar terhad dengan harga yang tinggi ditawarkan oleh pembekal,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan, isu kekurangan pekerja di ladang turut menjadi punca kepada kenaikan harga sayuran.

Beliau berkata, ramai pekerja asing yang pulang sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih tidak dibenarkan masuk semula ke Malaysia sehingga kini mengakibatkan pengeluaran di ladang terganggu.

Mark bagaimanapun memberitahu pihaknya telah mengambil tindakan dengan melakukan libat urus bersama agensi berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menangani isu berkenaan.

“Selain itu, pihak penguatkuasaan dan pegawai pemantau harga akan meningkatkan pemantauan di premis-premis perniagaan sayur di negeri ini dari masa ke masa,” katanya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan rungutan daripada peniaga berhubung kenaikan harga beberapa jenis sayuran sejak dua minggu lalu.

Kredit: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *