Hanya RM250 Untuk Seludup Masuk Ke Malaysia

KOTA BHARU – Hanya RM250 bayaran dikenakan kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Thailand, yang mahu menyeludup masuk ke Malaysia untuk mencari pekerjaan.

Jumlah itu dikatakan perlu dibayar kepada ‘transporter’ sebelum warga Thailand itu dibawa masuk ke Kelantan menerusi pangkalan haram.

Permintaan untuk kemasukan warga Thailand dikatakan mendapat sambutan menggalakkan memandangkan sektor ekonomi di Malaysia sudah dibuka seperti biasa.

Bagi memastikan kemasukan Pati berjalan lancar, pengusaha bot dikatakan memainkan peranan memastikan laluan selamat daripada pihak berkuasa.

Sumber berkata, hampir setiap hari ‘transporter’ mendapat panggilan sama ada daripada penduduk tempatan atau warga Thailand yang mahu menggunakan khidmatnya.

“Bayaran dikenakan sebanyak RM250 itu adalah pakej lengkap apabila warga Thailand itu diambil di pangkalan di sebelah Thailand sebelum dihantar ke lokasi ingin dituju di Kelantan.

“Jika warga asing itu mahu ke Kuala Lumpur atau negeri lain selain Kelantan, caj lain akan dikenakan melainkan mereka memilih untuk menaiki bas.

“Jika sebelum ini permintaan kemasukan agak kurang, namun sekarang ini ia menggalakkan memandangkan sektor ekonomi sudah beroperasi seperti biasa termasuk kedai makan pun sudah boleh dibuka,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di Thailand mahu bekerja di Malaysia kerana gaji lebih tinggi selain sukar mendapat peluang pekerjaan di negara mereka.

Katanya, kegiatan penyeludupan kebiasaannya dilakukan awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan sekali perjalanan membabitkan empat hingga lima Pati.

Sementara itu, pekerja kedai makan warga Thailand yang mahu dikenali sebagai Aliah, 35, mengakui dia masuk ke Kelantan menerusi pangkalan haram.

“Saya terpaksa menggunakan khidmat orang tengah dengan bayaran RM250 demi mencari rezeki untuk keluarga di Takbai, Thailand.

“Di sana bukan seperti Malaysia kerana di sini banyak peluang pekerjaan dan gaji agak mahal menyebabkan saya mengambil risiko menyeludup masuk ke Kelantan.

“Saya bekerja di kedai makan dengan bayaran RM60 sehari selain diberi kemudahan tempat tinggal. Untuk masuk ke sini (Kelantan), tauke kedai makan tempat saya bekerja yang menguruskan dengan orang tengah,” katanya.

Kredit: myMetro Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *