Gardenia Naikkan Harga Roti Hingga 45 Sen Mulai 1 Disember

KUALA LUMPUR – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, pengeluar produk roti Gardenia di Semenanjung Malaysia, mengumumkan kenaikan harga produknya bermula 1 Disember ini.

Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, peningkatan ketara dalam kos-kos pengeluaran dan bahan, yang di luar kawalannya, telah meletakkan Gardenia KL dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga bagi produk-produk Gardenia.

Katanya, semakan harga itu membabitkan produk-produk, dalam keadaan tertentu, yang mengekalkan harga sama selama bertahun-tahun, termasuk rangkaian roti Gardenia Original Classic.

“Harga produk lain yang disemak semula juga meliputi rangkaian Gardenia Delicia, ban, roti krim, mufin, Gardenia Twiggies, wafel dan Gardenia NuMee.

“Semakan harga ini dilaksanakan ekoran kenaikan harga bahan mentah, antara lain termasuk tepung, tepung gandum penuh, lemak sayuran, serbuk koko, susu dan pembungkusan,” katanya.

Tambahnya, Gardenia KL akan terus memberi tumpuan menggiatkan usahanya untuk mengoptimumkan produktiviti dan kecekapan di kilang-kilang mereka.

“Bagi Gardenia KL, kenaikan harga adalah langkah terakhir setelah semua usaha digembleng terlebih dahulu.

“Kami amat menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kami selama ini dan berharap anda memahami keputusan sukar yang terpaksa kami laksanakan,” katanya.

Sementara itu dalam senarai semakan harga yang dilaporkan dihantar kepada peruncit, harga roti Classic Original Gardenia akan naik 30 sen kepada RM2.80, roti Jumbo berharga RM4, naik 45 sen manakala Roti Bonanza Big Value akan naik 35 sen menjadi RM3.10.

Roti bijirin gandum penuh Gardenia pula akan dijual dengan kenaikan 30 sen, manakala roti Bran & WheatGerm pula akan menyaksikan kenaikan 40 sen.

Sementara itu, senarai roti Delicia dan Toast-em, yang merangkumi roti Butterscotch dan Choco Raisin, pula akan dijual pada harga RM4.00 iaitu lebih 30 sen berbanding sekarang.

Roti sambal bilis syarikat pula akan berharga RM1.30 mulai bulan depan manakala roti krim Quick Bites naik 10 sen menjadi RM1.00.

Gardenia Bakeries (KL) adalah syarikat usahasama antara sebuah syarikat kumpulan makanan, QAF Ltd, yang juga mengendalikan kilang-kilang roti Gardenia di Singapura dan Filipina dan juga syarikat Malaysia, Padiberas Nasional Bhd.

Kredit: BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *