10 Saksi Sudah Dipanggil Berhubung Kematian OKT

KOTA BHARU – Lebih 10 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kematian seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) berusia 23 tahun, 16 November lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mereka yang dipanggil termasuk saksi awam dan juga beberapa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saksi awam yang kita panggil adalah tahanan lokap yang sama dengan OKT. Ini bagi melengkapkan siasatan pihak kita.

“Kertas siasatan dijangka akan selesai dalam tempoh satu atau dua minggu lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasminan Surau Ar-Rasyidin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Shafien berkata, siasatan perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan wujud kesangsian dan persoalan masyarakat berhubung kematian OKT berkenaan serta tidak mahu orang salah anggap kepada pihak polis.

Beliau berkata, pihak polis juga masih menunggu laporan patalogi dan jabatan kimia sama ada kematian lelaki itu wujud unsur jenayah atau sebaliknya.

Media sebelum ini melaporkan, polis akan menjalankan siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang juga OKT, 16 November lalu.

Shafien berkata, lelaki itu dalam siasatan kes kecurian kenderaan yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dia meninggal dunia pada jam 2.30 petang.

Kredit: myMetro Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *