PASIR MAS – Seorang pemuda cedera di kepala dan badan akibat dipukul dengan tukul besi di Kampung Banggol Petaling, di sini, semalam.
Mangsa berusia 37 tahun itu patah jari, luka serta bengkak di kepala selain terdapat kesan lebam dan calar pada belakang badan dipercayai dipukul oleh dua lelaki yang juga rakan sekampung.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu selepas bapa mangsa membuat laporan.
“Menurut bapanya, dia didatangi seorang rakan anak yang memberitahu mangsa dipukul ketika berada di rumah. Bapanya bergegas ke lokasi kejadian dan melihat anaknya berlumuran darah akibat dipukul.
“Dia dan beberapa jiran lain kemudian membawa mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas (HPM) untuk mendapatkan rawatan sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis.
“Polis mengambil tindakan segera dengan menangkap dua beradik berusia 26 dan 41 tahun di rumah mereka sebaik laporan diterima,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata, hasil saringan ujian air kencing terhadap dua suspek mendapati mereka negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, siasatan awal suspek mengaku memukul mangsa kerana mendakwa dia mencuri burung murai milik mereka.
Dalam perkembangan lain, Mohd Nasaruddin turut berkongsi kejayaan pihaknya merampas 304 biji pil kuda bernilai RM3,040 di Kampung Bechah Tendong, di sini, semalam.
“Anggota turut menahan seorang penganggur berusia 41 tahun yang mengaku kesemua dadah berkenaan adalah miliknya.
“Semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya ADB 1952,” katanya.
Kredit: myMetro Online