Kekurangan Minyak Peket Kritikal, Dijual RM2.90 Sekilogram

KUANTAN – Isu kekurangan minyak masak paket semakin kritikal sehingga terdapat peniaga kedai runcit terpaksa menjual sehingga RM2.90 sekilogram.

Utusan Malaysia difahamkan, selain faktor kekurangan bekalan, peniaga kedai runcit terpaksa menaikkan harga kerana memperoleh stok minyak masak peket pada harga RM2.50 sekilogram.

Tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya di daerah ini mendapati bekalan minyak masak paket tiada dan ia difahamkan berlarutan lebih dua minggu.

Susulan ketiadaan stok, orang ramai terpaksa membeli dan menggunakan minyak masak dalam botol yang dijual dengan harga lebih tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengguna yang hanya ingin dikenali sebagai Adwa berkata, dia membeli minyak masak paket dengan harga RM2.90 sekilogram.

“Sebanyak lima kedai runcit termasuk tiga buah pasar raya saya pergi semua tiada stok minyak masak paket. Difahamkan, lebih seminggu mereka tiada bekalan.

“Ada kedai mempunyai stok tetapi begitu terhad, namun, harga dijual pula melebihi harga subsidi kerajaan RM2.50 sen. Mahu tidak mahu, saya terpaksa beli juga.

“Tauke kedai pun beberapa kali memaklumkan dia terpaksa menjual dengan harga itu (RM2.90) dan terserah kepada saya untuk membeli atau tidak,” katanya di sini semalam.

Seorang pekerja pasar raya di daerah ini, Halina Hamdan, 32, berkata, dalam tahun ini, lebih tiga kali minyak masak paket mengalami masalah bekalan.

“Kali ini, paling kritikal, di tempat saya bekerja, lebih seminggu tiada stok minyak masak paket, tidak pasti apa masalah.

“Memang orang ramai (pengguna) banyak merungut kerana rata-rata mahu membeli minyak peket yang jauh lebih murah berbanding minyak botol,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan ketiadaan minyak masak paket, minyak masak botol mengalami kekurangan mendadak dan diharap ia tidak putus bekalan selepas ini seperti mana minyak paket.

Sementara itu, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, menjual minyak masak paket melebihi harga subsidi adalah satu kesalahan.

Katanya, peniaga yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“YPNM harap kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) segera turun padang bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Jika dibiarkan berlarutan rakyat pasti memberontak kerana dalam situasi Covid-19 yang dihadapi ketika ini, kebanyakan pembeli tidak berkemampuan membeli minyak masak botol dengan harga yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berharap KPDNHEP segera turun padang memantau dan mengawal selia supaya tidak berlaku ketirisan dan penyelewengan di peringkat pembungkus serta pengedar minyak masak.

Pengguna terus mengeluh, minyak peket masih tiada

Sementara itu di Georgetown, di sebalik jaminan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) yang mana tidak berlaku gangguan bekalan mi­nyak peket satu kilogram (1kg) di pasaran ketika ini, namun, situasi sebaliknya masih dialami kalangan pengguna dan peniaga kecil-kecilan yang masih sukar mendapat bekalan itu.

Seorang pengguna, Asrul Izham, 41, memberitahu, dia tidak menyangka minyak peket 1kg yang dipasarkan pada harga RM2.50 sebungkus kini dijual RM3.50 di kedai runcit di daerah Timur Laut.

“Bukan sahaja berdepan kesukaran untuk mendapatkan minyak peket sehingga terpaksa keluar sejauh 10 kilometer dari rumah semata-mata untuk mendapatkan sebungkus mi­nyak peket, malah peniaga turut menaikkan harga hingga RM1 semalam (kelmarin).

“Jenuh mencari kedai yang memasarkan minyak peket ketika ini. Daripada enam buah kedai runcit termasuk pasar raya, hanya sebuah premis sahaja yang beri sepeket itupun perlu beli barang lain di situ.

“Pengusaha beritahu yang pihak pemborong memaklumkan bekalan minyak peket akan dinaikkan harga dan saya terpaksa ikut harga yang mereka tetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga cucur udang di Batu Feringghi, Roslina Roslee, 38, ber­kata, dia terpaksa menutup sementara gerai makanan yang diusahakan sejak dua minggu lalu berikutan kesukaran men­dapatkan bekalan minyak peket di pasaran.

“Saya menggunakan kira-kira tujuh minyak peket sehari dan tidak sanggup menggunakan minyak botol yang dipasarkan pada harga jauh lebih tinggi,” katanya.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *