RANTAU PANJANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Rantau Panjang membuat tinjauan berkala ke kawasan rendah yang dilanda banjir untuk memberi nasihat kepada orang ramai agar tidak bermain air bagi mengelak insiden yang tidak diingini.
Tinjauan hari ini ke beberapa lokasi banjir seperti di Kampung Gual To’Deh dan Kampung Pengkalan Rakit, di sini, mendapati penduduk terutama golongan kanak-kanak mengambil peluang bermain air yang melimpah di atas jalan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, anggota bertugas bertanggungjawab meninjau sebanyak tiga kali sehari kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai untuk memberi nasihat serta amaran bagi mengelak insiden lemas berlaku.
Katanya, walaupun banjir kali ini bukan bah besar, bahaya ada di mana-mana sahaja kerana kawasan rendah tetap ditenggelami air pada paras yang tinggi selain aliran air yang deras tidak sesuai untuk golongan kanak-kanak.
“Setakat ini, kebanyakan tinjauan mendapati anak kecil ditemani oleh ibu bapa untuk bermain air. Tetapi mereka tidak boleh leka kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.
“Alhamdulillah, penduduk memberi kerjasama baik dengan pihak JBPM malah menerima teguran yang diberi dengan hati terbuka demi kebaikan bersama.
“Banjir kali ini ,’biasa-biasa’ sahaja kerana hanya melanda beberapa kawasan rendah selain tidak menghalang laluan utama ke Rantau Panjang dan berharap tidak berlaku gelombang seterusnya yang lebih besar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengikut portal https://publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat bacaan 8.30 meter setakat 10.30 pagi hari ini, menunjukkan trend air menurun.
Sementara itu, bagi penduduk, Mahizu Mat Husin, 41, dia memuji tindakan JBPM yang sentiasa meronda dan meninjau kawasan yang dilanda banjir dalam memastikan keadaan serta keselamatan penduduk terkawal.
“Saya sendiri membawa anak-anak bermain air tetapi hanya di kawasan cetek yang dipastikan selamat untuk mereka. Anggota bomba menghampiri kami sekeluarga dengan penuh berhemah supaya sentiasa berhati-hati.
“Cara pendekatan daripada anggota bomba ini membuat kami penduduk kampung lebih selesa dan rela hati mematuhi segala arahan selain akur apa yang disampaikan mereka adalah demi kebaikan masyarakat setempat,” katanya.
Kredit: myMetro Online