7,000 Permohonan Bantuan Waris Mangsa Covid-19

KOTA BHARU – Hanya 7,000 permohonan dibuat oleh keluarga waris mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 menerusi Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 sedangkan kematian direkodkan membabitkan lebih 30,000 mangsa.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, masih ramai yang tidak memohon bantuan berkenaan walaupun pihaknya sering menghebahkan perkara itu.

“Kita dapati ada beberapa faktor yang menyebabkan waris mangsa tidak berbuat demikian. Satunya daripadanya adalah, sebelum ini waris perlu mengemukakan beberapa dokumen pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain itu, ada waris yang enggan memohon kerana berpendapat mereka tidak perlu menanggung kos sama ada ketika berada di hospital atau proses pengebumian.

“Bagaimanapun selepas kita membuat pembaharuan berhubung dokumen mangsa, apa sahaja dokumen daripada KKM sama ada surat hospital atau surat kematian, itu sudah memadai untuk membuat permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat berhubung persiapan banjir di Kelantan di Bilik Gerakan Negeri di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, permohonan yang dibuat waris mangsa akan ditentukan oleh KKM sama ada layak atau sebaliknya untuk bantuan berkenaan.

“Pada masa sama, kita juga meminta waris mangsa supaya bersabar sekiranya permohonan mengambil masa yang lama, memandangkan ia perlu melalui proses tertentu sebelum bantuan dikeluarkan.

“Permohonan untuk bantuan kematian ini akan ditutup sebaik sahaja negara memasuki fasa endamik. Selepas memasuki fasa endamik, ia perlu melalui jemaah menteri sama ada bantuan berkenaan akan diteruskan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, selain bantuan kematian berjumlah RM5,000, pihaknya turut menyediakan bantuan harian RM100 kepada individu yang positif Covid-19 yang terjejas daripada segi pendapatan.

“Contoh, seorang peniaga yang disahkan positif dan perlu kuarantin selama tujuh hari membuatkan dia tidak boleh berniaga. Golongan yang terjejas daripada segi pendapatan ini layak memohon dan akan diberikan bantuan RM100 sehari sehingga maksimum 14 hari.

“Ada juga yang memohon namun tidak layak daripada segi teknikal. Contoh, pesakit adalah suri rumah atau pesara yang semestinya tidak terjejas pendapatan.

“Namun, setakat ini hanya tujuh peratus permohonan terpaksa ditolak kerana tidak layak,” katanya.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *