MACHANG – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan kerajaan negeri Kelantan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang dengan memberi tumpuan terhadap pembangunan insan, pendidikan, pengajian tinggi, sains dan teknologi.
Profesor Madya Dr Zulkifli Mohamed yang menjalankan tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan berharap kolaborasi itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak meliputi pelbagai bidang seperti latihan, penyelidikan, perundingan dan latihan buat para pelajar.
“Kita juga berharap UiTM dapat terus membantu dan memperkasakan pengetahuan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kepada para pelajar dan masyarakat.
“Dengan termeterainya MoU ini, silaturahim di antara UiTM Cawangan Kelantan dan kerajaan negeri Kelantan dilihat akan bertambah utuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
MoU berkenaan diwakili oleh Zulkifli dari UiTM manakala kerajaan negeri pula diwakili oleh Exco Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan yang berlangsung secara dalam talian.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, kolaborasi itu juga bakal menghasilkan aktiviti kerjasama yang pastinya akan memberi impak yang baik terhadap masyarakat khususnya penduduk negeri Kelantan.
Beliau berkata, UiTM Cawangan Kelantan akan terus komited dalam memastikan peluang kolaborasi ini digunakan sepenuhnya oleh warga UiTM untuk lebih mendekatkan institusi universiti dengan rakyat.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Fadzli memberitahu, kerajaan negeri berharap melalui MoU itu, golongan ilmuan dapat sama-sama merancakkan bidang kerjasama yang sedia ada di antara UiTM dan kerajaan negeri.
“Selain itu, ia boleh menjana bidang baharu yang berprasyarat memberi impak dan manfaat khasnya dalam melonjakkan martabat pendidikan ummah melalui pembangunan sains serta teknologi,” katanya.
Kredit: Sinar Harian