Nilai Rt COVID-19 Catat 1.05 3 Hari Berturut-Turut

PUTRAJAYA – Malaysia mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 pada paras 1.05 tiga hari berturut-turut dari Sabtu lalu sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi data berkenaan melalui media sosial, berkata kadar kebolehjangkitan COVID-19 negara semalam juga pada paras 1.05.

Berdasarkan grafik yang turut dikongsikan dalam hantaran itu, Putrajaya mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.17, sedikit penurunan berbanding Rt pada Ahad lalu.

Ia diikuti, Negeri Sembilan dengan kadar 1.05; Selangor, Kelantan dan Kuala Lumpur, masing-masing mencatatkan Rt 1.04; Pahang (1.02) dan Sabah (1.0).

Negeri Sembilan turut mencatatkan peningkatan Rt berikutan, ia merekodkan paras 1.02 pada Ahad lalu.

Begitu juga dengan Kelantan dan Sabah turut menunjukkan peningkatan kadar Rt apabila masing-masing mencatatkan nilai Rt 1.01 dan 0.98 pada 14 November.

Negeri lain mencatatkan nilai Rt bawah 1.0 iaitu Johor dan Kedah dengan masing-masing 0.99; Melaka (0.97); Perak(0.96) Pulau Pinang dan Terengganu masing-masing 0.94; Sarawak (0.86) manakala Labuan dan Perlis masing-masing hanya mencatatkan 12 dan lapan kes semalam.

Nilai Rt kebangsaan mulai menunjukkan peningkatan sejak 10 hari lalu iaitu paras Rt 0.91 pada 6 November sebelum menjadi 1.0 pada 11 November.

Jumaat lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu hantaran melalui akaun Twitter, menyatakan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau hospital di seluruh negara susulan indikator kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R-Naught) Malaysia meningkat kepada angka 1.0.

Khairy turut menggesa individu yang diberi temu janji dos penggalak COVID-19, supaya mengambil dos berkenaan.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *