Peniaga Akur Jual Ayam Tak Melebihi RM9.50 Sekilogram

KUALA NERUS – Peniaga ayam di beberapa pasar utama di Terengganu akur dengan arahan harga jualan ayam, walaupun hanya memperoleh sedikit keuntungan.

Ini berikutan Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri meminta ayam dijual tidak melebihi RM9.50 sekilogram.

Peniaga ayam, Hairul Hadi Sudin, 44, dari Teluk Ketapang, mengakui sukar untuk mendapatkan bekalan ayam segar sejak awal bulan lalu.

Katanya, ayam segar dibekalkan pemborong hanya dianggarkan seberat kira-kira 1.3 kilogram.

“Kami hanya memperoleh keuntungan antara 20 dan 30 sen bagi setiap ekor ayam segar, tetapi berpuas hati kerana masih memperoleh bekalan bagi menampung permintaan pelanggan.

“Kami hanya dibekalkan antara 200 dan 300 ekor ayam hidup sehari daripada pemborong di Negeri Sembilan, sedangkan pesanan dibuat antara 500 dan 1,000 ekor sehari,” katanya ketika ditemui di Pasar Teluk Ketapang, di sini, hari ini.

Hairul Hadi mengakui bukan sahaja berlaku peningkatan harga ayam, malah menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa peniaga ayam di pasar itu mematuhi ketetapan harga dikeluarkan KPDNHEP iaitu RM9.50 sen sekilogram.

Difahamkan, KPDNHEP negeri membuat ketetapan harga jualan ayam di pasar awam tidak melebihi RM9.50 sekilogram manakala harga di pasar raya RM9 sekilogram.

Tinjauan mendapati harga ikan dan sayur turut meningkat antara 30 sen dan 50 sen sekilogram.

Peniaga ikan mendakwa peningkatan harga berlaku berikutan musim tengkujuh menyebabkan kekurangan bekalan.

Tinjauan mendapati harga ikan selayang adalah RM12 sekilogram, ikan kerisi (RM16), kembung (RM14), udang harimau (RM46) dan udang putih antara RM25 dan RM34 sekilogram.

Bagaimanapun, tinjauan di beberapa pasar raya mendapati harga pelbagai jenis sayur masih murah jika dibandingkan di pasar awam.

Difahamkan, peniaga termasuk pemilik pasar raya yang menjual ayam melebihi harga ditetapkan akan diberi notis Pengesahan Maklumat Barangan/Perkhidmatan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Pengaturan (AKHAP) 2011.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *