Pembelajaran Sekolah Dijadikan PPS Tak Terganggu

KUALA TERENGGANU – Kerajaan memberi jaminan proses pembelajaran tidak terjejas walaupun 168 sekolah di negeri ini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bagi memastikan proses pembelajaran tidak terganggu, pelajar akan dipindahkan ke bangunan lain untuk mengikuti pembelajaran.

“Biasanya, bukan semua bangunan sekolah akan digunakan untuk menempatkan mangsa banjir.

“Secara keseluruhan, bangunan sekolah yang akan dijadikan PPS mampu menampung 56,680 mangsa banjir,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Keluarga Mithali 2021, di Kompleks Ibu Tunggal, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah.

Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri berkata, bilik gerakan bencana seluruh negeri bersedia untuk diaktifkan bagi menghadapi musim tengkujuh.

Katanya, sebanyak 575 PPS seluruh negeri yang mampu menampung 146,200 mangsa banjir.

Hanafiah berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) juga menyediakan hospital sementara di PPS di setiap daerah.

Mengenai fenomena air pasang besar yang dijangka melanda di negeri ini, Hanafiah meminta penduduk yang tinggal di tepi pantai bersiap sedia untuk berpindah ke PPS jika keadaan ombak tinggi.

“Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), fenomena air pasang besar dijangka melanda di negeri ini sebanyak empat kali dengan ketinggian ombak antara 2.40 meter hingga 3.70 meter sepanjang bulan ini,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, pesara guru yang juga ibu tunggal, Hasnah Abdullah, 66, dipilih pemenang Anugerah Tokoh Keluarga Tunggal peringkat negeri, manakala Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan negeri, Mohd Draman memenangi Anugerah Tokoh Keluarga Lengkap Mithali.

Hasnah dan Mohd masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *