Pemutihan Senarai eKasih Siap 2022

SIK – Pengkalan data sistem eKasih seluruh negara akan menjalani proses pemutihan bagi memastikan hanya individu dikategori sebagai miskin dan miskin tegar kekal berada dalam senarai berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, proses yang dijangka siap tahun hadapan itu selaras dengan keputusan kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2025.

Jelasnya, langkah itu juga penting bagi memastikan hanya individu yang layak mendapat bantuan menerimanya serta mengelak keciciran membabitkan individu lain.

“Pengkalan data eKasih ini penting kerana kebanyakan bantuan kerajaan disalurkan melalui senarai ini, jadi ia perlu menjalani proses pemutihan agar maklumatnya sentiasa tepat.

“Selain itu, kerajaan negeri juga dicadang menubuhkan Unit Kemiskinan Khusus bagi membolehkan program pembasmian kemiskinan tegar secara bersepadu dapat dilaksana di setiap daerah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke daerah ini termasuk melawat Felda Teloi Timur serta menemui penerima bantuan program Kasih Ibu Darul Aman (Kida).

Setakat 22 Oktober lalu, 506,669 individu tersenarai dalam pengkalan data eKasih membabitkan 262,632 dikategori sebagai miskin tegar dan 244,037 sebagai miskin.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, bagi memastikan sasaran penghapusan miskin tegar menjelang 2025 berjaya dicapai, kerajaan negeri diminta mengenal pasti kawasan yang masih mengalami masalah itu ketika ini.

“Setiap kerajaan negeri diminta memberi nama dua daerah termiskin bagi dilaksanakan program rintis membasmi kemiskinan tegar secara holistik dan bersepadu membabitkan semua pihak.

“Kedah sendiri mencadangkan program ini dilaksana di Sik dan kita masih berbincang lanjut mengenai kawasannya secara tepat dan program yang bakal dilaksana,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tinjauannya ke Felda Teloi Timur, beliau berkata, terdapat beberapa masalah yang dihadapi peneroka penempatan itu yang perlu diberi perhatian segera.

Katanya, antara yang perlu diselesaikan adalah berkaitan isu infrastruktur dan harga getah yang rendah menyebabkan peserta terpaksa hidup dalam keadaan sukar.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

One Comment on “Pemutihan Senarai eKasih Siap 2022”

  1. Bismillahhirrohmannirrohim
    Assallammualaikum wbt
    Saya merupakan ahli e Kasih yg berdaftar Di Daerah putatan, sabah. Saya Amat Berminat Dan memerlukan bantuan kursus perbuatan Mee kuning Di Daerah kami serta bantuan peralatan terkini perbuatan Mee kuning .
    Mohon didengar serta dibantua rayuan saya ini, Ribuan terimakasih
    Wassallam-mualaikum-warahmatullah-hiwabarakatuh
    🙏🙏🙏🙏🙏🙏🙏🙏🙏
    Hj. Johari Jaini
    Daerah putatan
    Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *