TUMPAT – Anggota bomba dan penyelamat membuat rondaan lebih kerap di kawasan pantai di Kota Bharu, Tumpat, Pasir Puteh dan Bachok berikutan amaran cuaca yang dikeluarkan semalam hingga hari ini.
Amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi itu menjangkakan angin bertiup dari arah timur laut berpotensi membawa hujan lebat dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, anggota bomba dan penyelamat di empat daerah itu sentiasa berwaspada dengan sebarang maklumat awal dalam tempoh dua hari amaran dikeluarkan itu.
“Selain itu pemantauan secara berkala juga dibuat memandangkan sekarang juga hampir tiba musim tengkujuh.
“Di samping tinjauan ombak serta keadaan laut, nasihat juga diberikan kepada penduduk sekitar pantai terutama pengunjung dan nelayan agar tidak menghampiri kawasan pantai serta tingkatkan keselamatan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tinjauan di Pantai Geting di sini, mendapati keadaan ombak tinggi dan laut bergelora yang dikhuatiri mendatangkan bahaya jika pengunjung menjalankan aktiviti mandi-manda dan berkelah.
Pemantauan berkala turut dilakukan sepasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Tumpat sama ada dari menara penyelamat pantai atau bersemuka.
Menurut Pegawai APM Tumpat, Leftenan (PA), Mohd Fuad Ismail, anggotanya bertugas secara langsung setiap hari termasuk hujung minggu manakala hari biasa hanya menjalankan pemantauan berkala.
Beliau berkata, penugasan mereka di Pantai Geting hanya sepanjang 200 meter dari jarak menara penyelamat pantai APM namun akan memberikan respon segera jika berlaku sebarang kejadian di sepanjang Pantai Geting.
“Untuk dua hari bermula semalam sempena amaran cuaca waspada, tinjauan secara berkala dibuat dan pengunjung akan diberi nasihat agar tidak terlalu menghampiri kawasan pantai.
“Menjelang musim tengkujuh kami akan pacak dua bendera merah sebagai amaran kepada pengunjung agar tidak mendekati atau menjalankan sebarang aktiviti di pantai.
“Setakat semalam dan hari ini, pengunjung masih lagi datang ke sini namun mereka sendiri sudah menyedari bahawa situasi sekarang yang sudah menghampiri musim tengkujuh dan rata-ratanya tidak mandi atau bermain terlalu hampir dengan pantai,” katanya.
Kredit: myMetro Online