“Zulfarhan Lambang Kasih Sayang Pertama Saya Dan Suami”

KUALA LUMPUR – Berikut adalah kenyataan impak mangsa iaitu ibu Zulfarhan Osman Zulkarnain, Hawa Osman yang dibaca dalam mahkamah.

“Akibat daripada kejadian yang menimpa Zulfarhan, memberikan kesan yang sangat besar kepada saya dan keluarga.

“Kesihatan saya terjejas di mana pada 2018, saya mengalami katarak yang serius akibat kerap menangis ekoran kesedihan yang melampau serta mengalami darah tinggi kerana tidak dapat tidur malam.

“Kejadian itu menyebabkan saya trauma untuk melepaskan anak-anak lain untuk berdikari sendirian sambil menyambung pengajian di peringkat tertinggi kerana bimbang kejadian sebegini akan berulang kembali.

“Saya juga trauma untuk membenarkan anak-anak lain untuk memasuki badan beruniform dan memberikan tanggapan negatif ke atas badan beruniform yang meragut nyawa anak saya.

“Arwah adalah adalah anak sulung di mana sepatutnya pada ketika ini sekiranya arwah masih hidup; beliaulah yang akan membantu keluarga dengan membiayai adik-adik yang lain menyambung pelajaran di universiti kerana suami saya sudah bersara dan kini menyata hidup dengan memandu teksi, manakala saya hanyalah kerani di sekolah menengah.

“Kehilangan arwah memberi kesan kepada saya dan suami, di mana kami berdua menanamkan impian arwah akan menjaga kami ketika di usia tua.

“Saya mahukan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh yang menyebabkan saya kehilangan insan yang sangat bermakna dalam hidup saya dan hukuman ini menjadi contoh kepada masyarakat lain supaya lebih berhati-hati dalam bertindak. Hukuman ini diharap dapat membuka mata dan minda masyarakat supaya kejadian sebegini tidak berulang kepada ibu bapa yang lain dan merasai keperitan kehilangan anak yang disayangi dan juga harapan keluarga.

“Sehingga ke hari ini kejadian yang menimpa Zulfarhan mendatangkan kesan yang mendalam sehingga menimbulkan kebimbangan kepada saya pada setiap hari, setiap kali melepaskan anak lain berjauhan untuk meneruskan kehidupan masing-masing bagi menyambung pelajaran.

“Kejadian ini menyebabkan saya mengalami trauma yang mendalam serta tidak senang berada di rumah, mengenangkan keselamatan anak-anak yang lain.

“Ekoran kebimbangan ini saya terpaksa berhubung dengan anak-anak bagi memastikan keselamatan mereka.

“Saya juga turut mengalami kesedihan berpanjangan apabila nama arwah disebut.

“Arwah adalah lambang kasih sayang pertama saya dan suami dalam membina rumah tangga kami.

“Saya berharap apa yang terjadi ini akan menjadi tauladan kepada orang lain, supaya ia tidak berulang, yang mana banyak insan akan merasa kehilangan dan terluka.

“Kejadian ini adalah satu memori yang perit untuk saya terima di mana arwah adalah anak yang menceriakan suasana rumah dan mesra dengan ahli keluarga lain.

“Walaupun kepergian arwah hampir empat tahun tetapi ianya saya rasakan baru semalam perkara ini terjadi.

“Perkara ini tidak dapat saya lupakan sehingga hari ini dan sentiasa berulang-ulang dalam pemikiran saya.”

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *