KUALA LUMPUR – “Berat nak cakap, tetapi jujurnya saya maafkan tertuduh, apa yang mereka buat kepada anak saya. Dengan maafkan, barulah ada kelegaan tetapi saya akan lawan sampai ke mahkamah rayuan,” kata Zulkarnain Idros, bapa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Zulkarnain, 57, berkata demikian ketika diminta berkongsi perasaannya selepas mendengar keputusan hakim terhadap 18 tertuduh yang didakwa menyebabkan kematian tanpa niat terhadap anak sulungnya, Zulfarhan yang meninggal dunia di Hospital Serdang pada 2 Mei 2017.
Menurutnya, dia mengucapkan terima kasih kepada hakim kerana memberi keputusan yang sewajarnya walaupun tidak mengenakan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kalau ikutkan hati, tak puas hati juga apabila dipenjara 18 tahun saja.
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan pihak pendakwa raya akan failkan ke mahkamah rayuan dalam masa 14 hari dan tertuduh juga akan failkan pembelaan di Putrajaya.
“Pesanan saya kepada masyarakat di luar sana jangan jadi pembuli. Perbuatan itu menyebabkan saya kehilangan anak sulung yang menjadi harapan, idola dan teladan kepada adik-adik,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Ditanya bagaimana hubungannya dengan keluarga tertuduh, Zulkarnain berkata, hanya satu keluarga saja yang datang datang memohon maaf kepadanya dan isteri.
“Satu keluarga saja yang datang, seolah-olah anak saya pula yang bersalah dan membunuh.
“Janganlah begitu, kita sebagai bapa, jangan putuskan silaturahim,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Hawa Osman, 58, mengakui sering menangis setiap kali melihat pingat milik Zulfarhan yang diletakkan di depan katilnya.
Hawa berkata, ia kerana Allahyarham Zulfarhan pernah memesan supaya melihat pingat itu jika merinduinya.
“Saya sebagai ibu amat terkesan dan selalu menangis mengenangkan arwah kerana bergantung kepada Zulfarhan untuk membawa saya ke mana-mana.
“Saya juga setuju dalam masa 14 hari ini, kes ini dibawa ke mahkamah rayuan dan saya akan ke sana juga.
“Kepada tertuduh, mereka diberi pulang oleh hakim kerana kesalahan pertama. Jangan ada kesalahan kedua, ketiga selepas dibebaskan daripada hukuman penjara itu yang saya minta,” katanya.
Mahkamah Tinggi hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman.
Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan hukuman mereka mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu selepas melihat kepada pertimbangan pelbagai aspek termasuk semua pihak terjejas terutama kesan dialami keluarga mangsa.
Kredit: myMetro Online