KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V memberi perkenan untuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, dikuat kuasa, semalam.
Terdapat 24 peruntukan baharu dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, antaranya persetubuhan dengan mayat, sihir, dakwaan palsu, percubaan keluar Islam, memutarbelitkan ajaran Islam, tidak menghormati bulan Ramadan, memusnahkan tempat ibadat dan persetubuhan dengan bukan manusia.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata kaedah pelaksanaan enakmen itu bagi penambahbaikan bertujuan untuk memulih dan memberi kesedaran kepada pesalah syariah.
“Oleh itu, sebagai permulaan enakmen ini memberi faedah yang besar dalam pemantapan undang-undang syariah bukan saja di Kelantan, malah boleh diambil manfaat oleh negeri lain di negara ini dalam usaha melengkapkan lagi Kanun Jenayah Syariah di Malaysia.
“Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 memilih kaedah pelaksanaan hukuman berbentuk restoratif dan retributif untuk memulih dan memberi kesedaran kepada pesalah syariah terhadap kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam ucapan secara maya menerusi laman Facebooknya, di sini, hari ini.
Ahmad berkata, umat Islam di Kelantan disaran supaya bersama mematuhi dan menjaga kedaulatan undang-undang yang dikuatkuasakan demi kesejahteraan semua.
Katanya, undang-undang itu bertujuan untuk mengajar, mendidik dan menepati perintah agama serta menjadikan syariat Islam sebagai panduan kehidupan.
“Sejak PAS diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir Kelantan pada 1990, pelbagai usaha dijalankan oleh jawatankuasa yang dilantik bagi merealisasikan impian melaksanakan undang-undang Islam di negeri ini.
“Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan juga meluluskan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah pada 1993 dan lahirnya Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993.
“Namun, enakmen itu tidak dapat dikuatkuasakan atas sebab dan halangan tertentu. Kerajaan negeri mengambil inisiatif lain dengan membuat kajian dan penambahbaikan terhadap enakmen sedia ada, termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 dan mula disemak semula pada 2016 sebelum berakhir pada 2019,” katanya.
Ahmad berkata, peruntukan enakmen berkenaan dikaji, diteliti dan didapati ada kewajaran untuk ditambah baik sesuai dengan arus perkembangan sosial masyarakat masa kini serta menepati Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah membicarakan kes yang had hukuman maksimum adalah tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman itu.
Untuk rekod, kajian bagi penggubalan enakmen terbabit mengambil tempoh masa enam tahun dan dibentangkan di DUN pada 14 hingga 16 Oktober 2019, sebelum mendapat persetujuan diraja pada 14 Julai 2020.
Kredit: BH Online