TUMPAT – Polis mengeluarkan sebanyak 71 saman terhadap penunggang motosikal yang didapati melakukan pelbagai kesalahan trafik dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Pasir Pekan di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, operasi yang bermula pada pukul 9 malam hingga 2 pagi tadi itu turut menyita sebanyak 14 buah motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai ekzos.
Menurutnya, selain mengubah suai ekzos, polis mengeluarkan saman terhadap penunggang motosikal yang tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, tidak memakai topi keledar, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tiada cermin sisi dan tidak menampal pelekat L.
“Sepanjang lima jam operasi dijalankan, polis telah memeriksa sebanyak 35 buah motosikal dengan melibatkan seramai 58 penunggang dan pembonceng kenderaan itu.
“Kebanyakan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan trafik dalam operasi itu berusia dalam lingkungan 17 hingga 30 tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Mohd. Razi, polis akan terus mengadakan operasi dari masa ke semasa untuk mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang melibatkan kesalahan trafik dalam kalangan penunggang motosikal.
Kredit: Kosmo!