Kerajaan Ismail Akan Jatuh? (Suatu Teori Konspirasi)

DALAM tempoh 30 jam selepas kabinet Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah semalam (Isnin 30 Ogos), kerajaan ini mungkin akan tumbang lagi?

Sumber-sumber memberitahu BebasNews, kebarangkalian “konspirasi itu adalah cukup jelas”.

Dalam masa Ismail Sabri diberi mandat memerintah, pakatan Zahid Hamidi-Anwar Ibrahim masih bekerja keras untuk menjatuhkan kerajaan itu.

Dalam masa yang sama pakatan Muhyiddin Yassin juga sedang bekerja kuat untuk “come back” sebagai perdana menteri. Benarkah, dengar-dengar ada retreat 3 hari 2 malam di kediaman Muhyiddin di Janda Baik? Apakah butiran perbincangannya?

Ia ekoran sepucuk surat bertarikh 30 Ogos 2021 daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) — yang dikeluarkan 2 jam sebelum kabinet mengangkat sumpah — meluluskan penangguhan pemilihan UMNO sehingga 18 bulan; sehingga Disember 2022.

ROS sebelum ini mengeluarkan notis bertarikh 6 Ogos mengisytiharkan Majlis Tertinggi (MKT) sudah luput tempoh mandat pada 30 Jun 2021 kerana kegagalan mengadakan pemilihan.

Surat daripada ROS atau JPPM itu berbunyi: “JPPM berpandangan bahawa tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021. Oleh itu, keputusan MKT UMNO untuk menangguhkan pemilihan jawatan di semua peringkat selama 18 bulan pada 7 Julai 2021 adalah tidak sah.” Surat itu ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Haji Jasri Kasim.

Namun yang peliknya, semalam (Isnin) ROS membuat U-turn sebelum jemaah menteri baru mengangkat sumpah.

Ramai yang bertanya “arahan siapakah surat baru itu dikeluarkan?” Adakah wujud unsur-unsur yang mencurigakan?

Pemerhati melihat tindakan ini akan memberi “talian hayat politik” kepada Zahid sehingga Disember 2022 walaupun mandat MT UMNO sepatutnya tamat 30 Jun lalu mengikut keputusan ROS sebelum ini.

Dalam perkembangan yang sama, pakatan Zahid-Anwar dikatakan telah memfailkan suatu usul di bawah Peraturan 26(1) dan 27(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk memecat Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dan digantikan dengan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said yang dikatakan memihak kepada mereka.

Usul ini dijangka dibawa dalam mesyuarat Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula pada 13 September 2021.

Pakatan Anwar-Zahid percaya mereka mempunyai bilangan undi yang cukup untuk meluluskan usul menyingkirkan Azhar untuk diganti dengan Azalina.

Sumber juga memberitahu BebasNews bahawa kemungkinan suatu usul undi tidak percaya akan dibawa terhadap Ismail Sabri sekiranya usul menggantikan Speaker berjaya dilaksanakan.

Benarkah teori konspirasi ini sedang berlaku? Jika ini berlaku rakyat akan melihat satu lagi pergolakan politik yang merimaskan.

Ini sekali gus membelakangkan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu meredakan kemelut politik negara.

Ikuti titah Baginda:

Petikan kenyataan akhbar Istana Negara (18 Ogos 2021)

“Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.

“Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.

“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan. Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua.”

Kredit: BebasNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *