KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) digesa memberi kelonggaran terhadap peraturan meletak kenderaan di bandar ini, selain mengkaji semula kadar kompaun dan denda kunci tayar yang dikenakan terhadap pemilik.
Orang ramai mendakwa, sebuah syarikat swasta yang mengendalikan tempat letak kenderaan di sini seolah-olah rancak membuat ‘bisnes’ kunci tayar apabila sengaja mencari pesalah di bahu jalan terutama di laluan masuk hospital dan lokasi tumpuan awam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia hari ini, orang ramai berpendapat peraturan ‘wajib bayar’ RM110 sebelum kunci tersebut dibuka perlu diberi kelonggaran atau sekurang-kurangnya diskaun, mengambil kira kebajikan rakyat yang kini berdepan musim pandemik berpanjangan.
Seorang peniaga gerai di Jalan Hospital, berhampiran Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang mahu dikenali sebagai La berkata, kenderaan penguat kuasa syarikat itu kerap membuat rondaan di kawasan itu beberapa kali dalam sehari.
Dakwa wanita berusia 34 tahun itu, setiap kali penguat kuasa terbabit meronda, pasti ada sekurang-kurangnya dua atau tiga kenderaan akan dikunci tayar atas pelbagai kesalahan, tanpa sebarang kompromi.
“Kita semua tahu kawasan HRPZ II ini sentiasa sibuk dan tempat letak kenderaan yang memang terhad pula, sentiasa penuh. Mahu tidak mahu, ramai yang perlu berurusan di HRPZ II terpaksa meletak kereta di bahu jalan walaupun satu kesalahan.
“Saya pelik juga kenapa mesti tegas sangat sebab kereta di bahu jalan itu tidak menghalang laluan pun. Ada juga pemandu yang keluar sekejap untuk papah orang sakit masuk ke hospital. Tak sampai lima minit, kereta dia sudah kena kunci tayar,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi peniaga mahu dikenali sebagai Nik Harun, 60, berkata, dia kerap kali menjadi ‘saksi’ kejadian pemandu bertegang leher dengan penguat kuasa dan mempertikaikan tindakan mereka mengunci tayar keretanya.
“Walaupun tak halang laluan, kalau letak kereta di tempat yang tiada kotak parking, penguat kuasa akan kunci tayar. Kalau sudah letak kereta di tempat dibenarkan, tetapi anda dalam senarai blacklist iaitu didapati banyak saman tertunggak, juga akan dikunci tayar.
“Jika letak kereta terlebih masa pun berisiko untuk disaman yang membawa kepada tindakan kunci tayar. Jadi jangan pandang remeh dan beringatlah setiap kali datang ke Kota Bharu, termasuk di musim pandemik,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta Mohd. Zaidi, 53, mengakui keretanya pernah beberapa kali dikunci tayar oleh penguat kuasa MPKB-BRI dan syarikat berkenaan kerana meletak kenderaan di tempat tidak dibenarkan di pusat bandar ini.
“Cuma, saya kesal, tayar kereta saya pernah dikunci hanya disebabkan dikesan mempunyai lapan tunggakan kompaun yang belum dibayar. Untuk membuka kunci tersebut, saya terpaksa meminjam wang rakan untuk bayar kompaun RM110 selain perlu jelaskan semua tunggakan,” katanya.
Kredit: Utusan Online