Buat Rumah Untuk Kucing Berteduh

KOTA BHARU – Sepasang suami isteri sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit bagi membina kediaman khusus untuk puluhan kucing peliharaan di belakang rumah mereka di Taman Darul Salam, di sini.

Pasangan itu, Nik Mustafa Almuai, 50, dan Nazibah Yaakub, 48, juga tidak ‘pilih bulu’ apabila menempatkan pelbagai jenis kucing, sama ada baka ‘kayangan’ bernilai tinggi, mahupun kucing jalanan di rumah tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nazibah berkata, selain kucing biasa seperti baka kampung dan kacukan tempatan, mereka turut memiliki kucing jenis British Short Hair (BSH), Bengal, American Curl, Garfield dan Tortie.

Katanya, ‘rumah’ khas untuk kucing-kucing mereka itu belum siap sepenuhnya dan setakat ini, sebanyak RM10,000 ringgit telah dihabiskan bagi tujuan tersebut.

“Sebelum ini, kucing-kucing kami diletakkan dalam sangkar. Pembinaan rumah khas ini kerana kami mahu mereka lebih selesa dan bebas bergerak, namun, tetap terjamin keselamatan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Nazibah yang bertugas sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Pasir Puteh berkata, dia bersyukur berkongsi minat sama, iaitu obses terhadap kucing dengan Nik Mustafa yang merupakan seorang kontraktor.

Katanya, sebelum ini mereka sering mengutip kucing terbiar dan berpenyakit di jalanan untuk dibawa pulang sebelum dirawat, dijaga dan dibelai sehingga bertukar menjadi sihat, lincah dan gebu.

“Kebanyakan kucing jalanan itu hilang, mungkin diambil orang ketika bermain di luar rumah. Tak mengapa, saya halalkan asalkan orang yang mengambil kucing itu memberi kasih sayang sepenuhnya kepada mereka, bukan membuangnya di tepi jalan,” katanya.

Menurut Nazibah, mereka memperhatikan kira-kira RM2,000 sebulan untuk penjagaan harian haiwan-haiwan tersebut merangkumi makanan, pasir najis dan kos mendapatkan rawatan di klinik veterinar.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

One Comment on “Buat Rumah Untuk Kucing Berteduh”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *