Kegagalan Muhyiddin Letak Jawatan Beri Risiko Perundangan

PETALING JAYA – Kegagalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan akan membawa risiko perundangan amat besar kepada negara.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hasan berkata, malah dakwaan Muhyiddin  masih mempunyai majoriti adalah tindakan yang tidak berperlembagaan apatah lagi beliau menunda pengesahannya di Parlimen tanpa alasan yang wajar.

Katanya, ia secara tidak langsung menunjukkan Muhyiddin secara jelas menggunakan Perlembagaan untuk kelangsungan hayat politiknya dan bukan untuk memelihara kewibawaan institusi Perdana Menteri.

“Semua keputusan eksekutif tersebut boleh dicabar keabsahan dan keperlembagaannya.

“Ini meletakkan kerajaan dalam kedudukan terdedah kepada pelbagai pertikaian undang-undang dan risiko kerugian kewangan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau mengulas pengumuman khas Muhyiddin semalam berhubung beberapa isu termasuk mengakui Perikatan Nasional (PN) tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

Tambah Mohamad, bagi mengelakkan negara terus berada dalam kancah kecelaruan, pihak eksekutif wajar tampil dan melakukan tindakan yang benar dan berperlembagaan.

“Mereka harus memudahkan Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas perlembagaan baginda, bukan bertindak sebaliknya.

“Tiada yang lebih penting kepada seorang Perdana Menteri selain melaksanakan tanggungjawabnya selari dengan batas dan mandat yang diperuntukkan oleh perlembagaan,” katanya.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *