Maik Longgarkan Syarat Bantuan Golongan M40, B40

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melonggarkan syarat permohonan bagi mendapatkan bantuan am melibatkan golongan B40 dan M40 bermula bulan lalu.

Ketua Pegawai Pembangunan Maik, Mohd Azman Ghazali berkata, kelonggaran itu diputuskan bagi membolehkan lebih ramai penduduk negeri ini yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima bantuan.

“Kita longgarkan beberapa syarat kelayakan. Sebagai contoh had pendapatan, gaji RM2,000 kita kira masih lagi layak terima bantuan zakat, bergantung kepada tanggungan dan faktor lain. Malah golongan M40 juga layak menerimanya jika terkesan.

“Maik melonggarkan syarat bersesuaian dengan keadaan terkini selain menyalurkan bantuan perangsang ekonomi supaya penerima menceburi bidang perniagaan sebagai usaha menambah punca pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Prihatin Maik bersama badan bukan kerajaan (NGO) Kelantan dan Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan di Lembah Sireh, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, 300 bakul makanan diagihkan kepada masyarakat Tionghua yang terkesan dengan pandemik Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 30,500 bakul makanan telah diagihkan kepada penerima di seluruh negeri menerusi Program Prihatin MAIK.

Mengulas lanjut, Azman memberitahu, Maik memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta sebagai bantuan perangsang kepada penggiat sektor ekonomi yang terjejas membabitkan golongan peniaga kecil serta penjaja.

“Melalui bantuan itu, peniaga kecil-kecilan menerima bantuan RM300 hingga RM500 untuk digunakan sebagai modal berniaga masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengakui pihaknya menerima permohonan bantuan dalam talian jauh lebih tinggi dari seluruh negeri ini sejak PKP pertama dikuatkuasakan Mac tahun lalu.

“Sebagai contoh, sebanyak 40,000 permohonan dalam talian bagi mendapatkan bantuan sepanjang pelaksanaan PKP pertama berbanding hanya 10,000 permohonan sahaja sebelum musim pandemik,” katanya.

Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan laporan fenomena ‘lambakan’ OMB atau orang miskin baharu di Kelantan, ekoran PKP berpanjangan yang menyebabkan semakin ramai rakyat hilang punca pendapatan dan jatuh miskin.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *