Kerajaan Pahang Tanggung Kos Pengurusan Jenazah Covid-19

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang membuat keputusan menanggung kos bagi kerja-kerja pengurusan jenazah terbabit dengan wabak pandemik Covid-19 di negeri ini, sambil mengalu-alukan sumbangan semua pihak untuk turut terlibat dengannya.

Ini dicapai dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri semalam sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri akibat beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga waris.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya hari ini berkata, seperti mana sedia maklum, semua pengurusan jenazah berkaitan Covid-19 diuruskan oleh Kementerian Kesihatan di hospital-hospital terbabit dengan menggunakan khidmat badan sukarelawan.

“Badan-badan sukarela ini pula mengenakan kadar bayaran tertentu kepada keluarga waris, bagi kerja-kerja mengkafan, tayammum, solat, menggali kubur dan pengkebumian, selain menyediakan kain kafan, keranda dan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk petugas.

“Dengan keputusan MMK Negeri semalam, badan sukarela berkenaan kini boleh menuntut bayaran tersebut daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) khususnya di masjid-masjid daerah berkenaan.

“Mesyuarat MMK sama juga memutuskan, sebuah tabung khas berkaitan pengurusan jenazah Covid-19 ditubuhkan yang dikendalikan oleh JAIP. Sebagai permulaan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muil) telahpun bersetuju menyalurkan RM200,000 ke tabung khas ini,” katanya di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, JAIP akan meminta semua masjid di negeri ini untuk turut membuat kutipan khas dalam kalangan kariah masing-masing, bagi turut disalurkan ke tabung bantuan khas berkenaan.

“Adalah diharapkan, keputusan yang kerajaan negeri buat ini mendapat kerjasama baik semua pihak untuk menjayakannya, insya-Allah,” katanya.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *