TUMPAT – Diserang strok ketika sedang hamil tujuh bulan menyebabkan urusan kelahiran terpaksa disegerakan.
Saerah Lahpoo, 40, melahirkan bayi perempuan melalui kaedah pembedahan sebelum dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua bulan.
Kini, selepas 18 bulan kejadian itu, Saerah lumpuh sebelah badan selain pertuturannya tidak jelas dan hanya mampu mengesot.
Suaminya, Ayub Harun, 50, berkata, bayi perempuannya yang diberikan nama Fatimah Azzahra kini berusia setahun enam bulan dalam jagaan abangnya, Ismail Harun, 51, kerana dia tidak mampu membesarkannya memandangkan perlu menguruskan Saerah.
“Kami mempunyai tiga lagi anak berusia, lapan, 17 dan 19 tahun. Sekarang saya hanya bergantung kepada anak sulung yang bekerja di kedai menjual mi sup tidak jauh dari rumah dan menerima upah harian antara RM15 hingga RM20 sehari.
“Saya sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah tapi disebabkan pandemik Covid-19, sudah lama tidak keluar bekerja dan menumpukan perhatian kepada isteri.
“Walaupun isteri mampu mengesot dan boleh mandi dengan sendiri tapi banyak kerja rumah saya yang perlu uruskan termasuk memasak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pinang di sini, semalam.
Ayub berkata, disebabkan tidak dapat bekerja dalam tempoh lama, beban kewangan untuk perbelanjaan harian mulai menjejaskan keluarganya malah dia mengakui sewa rumah sebanyak RM100 sebulan sudah tertunggak selama tiga bulan.
Katanya, mereka bernasib baik kerana susu khas dan lampin pakai buang untuk isterinya disumbangkan badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) secara bulanan sejak awal Saerah diserang strok.
“Sebelum ini saya kerap juga menjemput tukang urut untuk mengurut isteri tapi sudah lama usaha itu terhenti disebabkan tiada duit untuk membayar khidmat itu.
“Kami juga bernasib baik kerana abang saya dan keluarganya sanggup memelihara bayi perempuan kami dan sudah mereka anggap sebagai anak sendiri termasuk membahasakan diri sebagai abah dan ma,” katanya sambil memberitahu kerap dibawakan bayinya itu menjenguk mereka.
Terdahulu mereka dikunjungi KKCK dan wakil Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang menyampaikan sumbangan sempena Program Bantuan Prihatin.
Bagi yang ingin membantu keluarga itu boleh menghubungi Ayub di talian 0135970653.
Kredit: myMetro Online