Yaya Syukur Kini Hamil 11 Minggu

HULU TERENGGANU – Wanita kerdil memiliki ketinggian 118 sentimeter yang perkahwinannya bersama lelaki normal tular di media sosial pada April lalu bakal bergelar ibu setelah disahkan hamil 11 minggu.

Syakila Norazma Amira Zuharsema, 27, yang mengahwini Muhammad Azri Zaidi, 19, pada 18 Mac lalu berkongsi berita gembira tersebut menerusi akaun TikTok peribadinya kelmarin.

Pembantu kedai makan yang mesra dipanggil Yaya tersebut memuat naik video yang memaparkan dia menjalani pemeriksaan rutin ibu mengandung di sebuah klinik kesihatan di daerah ini.

“Alhamdulillah, syukur de­ngan rezeki yang Allah bagi. Baby (janin) sudah 11 minggu. Doakan Yaya dengan baby sihat dan dijauhkan daripada wabak,” kata­nya di sini semalam.

Video yang turut mempamerkan aksi Yaya memegang buku rekod ke hamilan berwarna merah jambu dan video imbasan ultrabunyi janin berkenaan memberi keterujaan kepada pengikut media sosialnya.

Ramai yang gembira dan me­ngucapkan tahniah kepada Yaya dan suami, Muhammad Azri atas kehamilan sulung tersebut.

Tidak kurang meninggal komen nakal mengusik bahawa mereka tidak sabar untuk melihat Yaya sarat mengan­dung dengan dalam keadaan perut memboyot tidak lama lagi.

Kosmo! 5 April lalu melapor­kan Muhammad Azri yang ber­asal dari Kampung Machang, Ajil di sini membuktikan keikhlasan hati dan keluhuran cintanya dengan menerima Syakila Norazma Amira sebagai isteri tanpa menjadikan saiz fizikal sebagai satu kekurangan.

Pasangan yang bernikah di Pejabat Agama Islam Hulu Terengganu di sini pada 18 Mac lalu itu bertemu jodoh menerusi permainan online, PUBG.

Muhammad Azri membe­ritahu, dia tertarik keperibadian dan keyakinan diri tinggi dimiliki isterinya itu membuatkan ha­tinya terpaut untuk menyunting wanita berkenaan menjadi permaisuri hidupnya.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *