MUIP Sedia RM5 Juta Program Dapur Zakat

KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan peruntukan RM5 juta bagi menjayakan program dapur zakat membabit 663 masjid dan surau di negeri ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata program yang mula diperkenalkan Jun lalu membabitkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada masjid dan surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat.

Beliau berkata, ia digunakan oleh jawatankuasa masjid dan surau terbabit menyediakan bantuan keperluan asas kepada masyarakat setempat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Katanya, program fasa pertama itu bermula Jun hingga Disember ini dan jawatankuasa masjid serta surau boleh membuat permohonan tambahan mengikut keperluan semasa jika bantuan berkenaan tidak mencukupi.

“Antara barangan yang disediakan pihak masjid dan surau ialah seperti beras, sardin, bihun, gula, tepung, kicap, minyak masak dan biskut.Barangan berkenaan diagihkan kepada golongan memerlukan di kawasan kampung serta taman perumahan.

“Saya difahamkan sambutan terhadap bantuan program dapur zakat begitu menggalakkan terutama di beberapa masjid dan surau terletak di dalam dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau bekalan barangan keperluan asas program dapur zakat yang disediakan oleh Masjid Ittifaqiah Taman Seri Inderapura (MITSI), di sini semalam.

Asmadi berkata, sebelum ini MUIP menggalakkan masjid dan surau hanya menyediakan barangan kering sahaja namun kini pihaknya memberi kelonggaran untuk pihak terbabit menyediakan barangan basah mengikut keperluan semasa.

Katanya, pihak jawatankuasa masjid dan surau boleh menyediakan barangan basah mengikut keperluan semasa penduduk setempat dengan memastikan ia segera diagihkan bagi mengelak ia rosak.

“Kita minta jawatankuasa masjid dan surau termasuk ketua kampung menghebahkan bantuan yang disediakan MUIP kepada penduduk setempat yang memerlukan bagi memberi berpeluang kepada mereka mendapatkan barangan keperluan asas bagi menyara keluarga.

“Bagi penduduk bukan Islam yang memerlukan bantuan, pihak masjid dan surau boleh menggunakan infaq tabung masjid untuk menyediakan keperluan diperlukan,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *