KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melahirkan penghargaan kepada Timbalannya, Datuk Seri Ismail sabri Yaakob dan semua Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) yang menyatakan sokongan kepada kepemimpinannya, pagi tadi.
“Saya juga mengucapkan terima kasih di atas pendirian mereka yang bersetuju bahawa keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada bulan September dalam usul undi percaya dan bukan melalui kaedah lain.
“Ini adalah selaras titah perkenan Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepada saya ketika sesi menghadap di Istana Negara pada hari Rabu,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Muhyiddin berharap, agar pendirian Ahli Parlimen BN itu akan menghentikan polemik politik yang sedang berlaku ketika ini dan memberi ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani COVID-19, mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara.
“Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan dalam kita berhadapan dengan pandemik ini,” tegas Perdana Menteri.
Kredit: BH Online