KUALA NERUS – Seorang penternak arnab baka dari Kampung Pengkalan Maras, Tepoh mengalami kerugian lebih RM30,000 apabila 28 ekor ternakannya mati.
Kematian arnab pelbagai jenis baka seperti English Anggora dan German Giant itu dipercayai berpunca daripada kekurangan air bersih selepas berlaku krisis bekalan air di Kuala Nerus sejak 1 Ogos lalu.
Noraisyah Mohd Sofian, 28, berkata, dia tidak menjangka masalah air di kawasan Kuala Nerus berterusan sejak 1 Ogos lalu.
“Tergamam saya apabila melihat arnab baka yang berharga ribuan ringgit mati begitu saja akibat kekurangan bekalan air untuk diminum seperti biasa.
“Arnab import itu manja dan memang tidak tahan jika tidak minum air bersih oleh itu ia mati kerana ketiadaan air.
“Saya tidak buat persediaan awal kerana tidak menjangka masalah air itu berlarutan dalam tempoh yang lama,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Menurutnya, dia terpaksa memberi arnabnya meminum air daripada kolam ikan namun ia tidak sesuai untuk arnab dan ada yang mengalami cirit-birit.
“Terbaru lapan ekor yang mati kira-kira jam 10.30 malam dan ia sungguh menyedihkan saya.
“Arnab baka dari Amerika Syarikat iaitu English Anggora berharga RM3,800 antara yang mati.
“Lebih lima tahun saya menjalankan penternakan arnab baka itu dan pertama kali mengalami kerugian besar seperti itu,” katanya.
Menurutnya, masalah bekalan air pernah berlaku di kawasannya namun dalam tempoh 12 jam ia kembali pulih seperti biasa.
“Saya berharap krisis bekalan air di kawasan Kuala Nerus segera diselesaikan supaya kegiatan penternakan arnab yang dijalankan tidak terus terjejas.
“Jika masalah air itu berterusan kemungkinan lebih banyak arnab yang mati selepas ini,” katanya.
Kredit: myMetro Online