31 Ahli Parlimen BN Junjung Titah Agong

KUALA LUMPUR – “Jika tindakan kita meruntuhkan kerajaan, bermakna kitalah yang menggagalkan hasrat dan titah Seri Paduka supaya parlimen bersidang dan hal kerajaan ditentukan di dalam parlimen,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Perdana Menteri bersama 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini mengesahkan akan kekal bersama kerajaan sehingga sesuatu diputuskan di persidangan Dewan Rakyat, September ini.

Beliau berkata, mereka mengambil pendirian untuk patuh dengan titah Yang di-Pertuan Agong seperti dizahirkan ketika menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Katanya, sebagai kerajaan bertanggungjawab, fokus utama ketika ini adalah untuk membantu rakyat berdepan Covid-19.

“Pendirian kami adalah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan kerajaan hari ini meneruskan pentadbiran dan akan menentukan keabsahan kerajaan di parlimen.

“Jadi, jelas bahawa Seri Paduka mahu supaya parlimen diadakan dan penentuan untuk sama ada kerajaan ini terus boleh berfungsi selepas daripada bulan September ini ditentukan oleh ahli-ahli Parlimen,” katanya pada sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Besar), Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas), Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Tajudin Rahman (Pasir Salak), Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi), Datuk Mastura Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Hasan Arifin (Rompin), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed (Kuala Lipis), Datuk Salim Shariff (Jempol), Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran).

Manakala ahli Parlimen lain yang turut menyatakan sokongan adalah Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Semberong), Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang) dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling).

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun ada kenyataan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa dia menghantar nama kepada Seri Paduka, ia jelas bertentangan dengan perkenan Seri Paduka.

“Jadi kami Ahli Parlimen yang setia kepada Yang di-Pertuan Agong akan patuh kepada titahnya iaitu apapun perkara yang hendak diselesaikan perlu dilakukan di parlimen.

“Kami berpandangan perkara yang lain adalah perkara di luar perkenan Yang di-Pertuan Agong sama ada menghantar akuan bersumpah (SD), surat akuan termasuklah untuk menetapkan tindakan yang boleh meruntuhkan kerajaan sebelum sidang parlimen diadakan.”

Ditanya mengenai ahli Parlimen Parit Sulong yang tidak hadir pada sidang media itu, beliau berkata Ketua Wanita UMNO itu tidak dapat dihubungi, manakala ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin juga tidak dapat dihubungi kerana pulang ke Sabah.

“Dia (Noraini) tak dapat dihubungi, tutup telefon, dia serabut. Dia ada beritahu saya semalam. Bung Moktar juga tidak dapat dihubungi kerana dia balik ke Sabah. Kita akan cuba hubungi mereka ini,” katanya.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *