2 Letupan Bom Gegarkan Felda Triang 1

BERA – Dua letupan menggegarkan Felda Triang 1 hari ini susulan operasi memusnahkan bom lama jenis arial seberat 226 kilogram yang dijumpai di Felda Triang 1, di sini.

Dalam operasi yang bermula pukul 11.15 pagi itu menyaksikan dua letupan berlaku iaitu bermula dengan letupan kecil pada pukul 11.30 diikuti letupan terakhir kira-kira pukul 11.53 pagi.

Letupan terakhir yang begitu kuat dan boleh didengari sehingga sejauh tiga kilometer (km) itu menyaksikan kepulan asap tebal kelihatan di udara.

Penolong Pengarah Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRNe), Asisten Komisioner Mohammad Rafee Abu Bakar berkata, operasi melibatkan unit pemusnah bom dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang itu berjalan dengan baik tanpa sebarang kecederaan.

“Kita menggunakan kaedah ‘membelah’ bom itu dan menggali parit dan benteng guni pasir bagi mengurangkan impak gegaran kuat.

“Operasi meletupkan bom bermula pukul 11.15 pagi dengan membelah bom yang mengeluarkan bunyi agak kuat dan letupan sebenar yang mengeluarkan gegaran kuat berlaku pada pukul 11.53 pagi,” katanya hari ini.

Bom lama buatan British yang dikatakan peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui di kawasan ladang kelapa sawit belakang sebuah rumah peneroka di Felda Triang 1 di sini, Isnin lalu.

Bom jenis UXO Arial seberat 226 kilogram sepanjang 0.9 meter itu dijumpai seorang penduduk yang melakukan pembersihan tanah di belakang rumahnya menggunakan jengkaut.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *