Ramai Bantah Projek Taman Tema Di Cameron Highlands

PETALING JAYA – Orang ramai yang membantah projek taman tema di Cameron Highlands, Pahang telah melancarkan petisyen mendesak rancangan tersebut dihentikan.

Petisyen yang dilancarkan melalui laman web change.org itu telah mengumpul 19,500 tandatangan dengan tanda pagar #SaveCameronHighlands sohor kini di laman Twitter dan diulang ciap lebih 2,000 kali, hari ini.

Kebanyakan mereka khuatir habitat flora dan fauna di tanah tinggi Cameron Highlands terancam selain menyebabkan peningkatan suhu apabila berlaku penebangan hutan dan pembukaan tanah secara besar-besaran.

“Tolong jangan bina taman tema di Cameron Highlands. Saya belum pernah pergi ke sana lagi. Kita sudah ada lebih daripada cukup taman tema di seluruh Malaysia. Terdapat banyak lagi cara untuk menjana wang. Jangan korbankan alam sekitar. Perubahan iklim semakin menjadi-jadi,” komen pemilik akaun bernama @hsnafr.

“Terdapat lebih 177 spesies burung di sana. Spesies tertentu seperti katak lekit atau Kalophrynus yongi hanya dapat dijumpai di sana. Begitu juga orkid liar. Taman tema ini tidak perlu,” tulis @notsoaidil.

“Saya sudah pergi ke Cameron Highlands beberapa kali. Cuaca sejuk, buah segar, minum teh dan pemandangan indah adalah perkara yang amat saya sukai di tempat itu. Mengapa perlu membina teman tema di sana?” soal Wesley Kamiyama.

“Saya pilih pemandangan dan persekitaran hijau. Sudahlah kali terakhir naik (beberapa tahun lalu) suasana tidak lagi berapa sejuk. Baru nak perasan macam pergi ke Korea,” ujar Aish.

“Cameron Highlands sudah cukup bagus. Mungkin pihak pemaju boleh menggunakan peruntukan yang ada untuk memperbaiki jalan,” cadang @kim_qira.

Semalam media tempatan melaporkan, sebuah syarikat yang berpengalaman 20 tahun membina dan mengurus taman tema akan membangunkan taman tema terbesar di negara ini bertempat di Cameron Highlands melibatkan pelaburan melebihi RM100 juta dalam tempoh 10 tahun.

Projek tersebut dijangka meliputi kawasan lembah seluas 24 hektar dengan ketinggian 220 meter akan menjadi taman pengembaraan berasaskan alam semula jadi dan menawarkan pelbagai tarikan termasuk aktiviti ski yang pertama seumpamanya di rantau ini.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *