Mayat Ditemui Tersangkut Pada Tali Rumah Pam Pasir

TANAH MERAH – Mayat seorang lelaki yang tidak diketahui identitinya ditemui terapung dan tersangkut pada tali rumah pam pasir di dalam Sungai Kelantan berhampiran Kampung Paloh, Bukit Panau di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan, Zainuddin Md. Yusuf berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 8.52 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan terapung dan tersangkut pada tali penambat rumah pam pasir.

“Mangsa dipercayai telah meninggal dunia melebihi 24 jam yang lalu berdasarkan keadaan mayat yang telah kembung dan berbau busuk.

“Pemeriksaan lanjut pada tubuh badannya turut tidak menjumpai sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zainuddin, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, setakat ini, polis masih belum dapat mengenal identiti mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Tambahnya, sehubungan dengan itu, beliau memohon orang ramai yang kehilangan ahli keluarga agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah dengan segera.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *