PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan peningkatan lebih 33 peratus kemasukan pesakit baharu kes COVID-19 ke hospital di Lembah Klang berbanding dua minggu lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu hantaran melalui media sosial, berkata ketika ini bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital di Lembah Klang semakin meningkat ekoran peningkatan kes di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Terdapat 6,427 pesakit berada dalam hospital; 2,685 berada dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan 659 berada dalam unit rawatan rapi (ICU) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Lebih 1,000 pesakit dimasukkan ke hospital setiap hari,” katanya.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, Sistem Dashboard Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Hospital juga menunjukkan bilangan pesakit yang tinggi menunggu bagi mendapatkan rawatan di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Berikutan itu, beliau berkata, beberapa langkah sudah diambil di bawah seliaan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKVSTF) antaranya mewujudkan katil tambahan termasuk hospital medan di luar kawasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang serta mewujudkan katil tambahan di hospital seperti Hospital Selayang dan Hospital Serdang.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, kapasiti di PKRC Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) juga dipertingkatkan bagi memberi rawatan kepada pesakit yang memerlukan rawatan oksigen.
“Hospital yang sudah berfungsi sebagai hospital COVID-19 sepenuhnya adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Pakar Kanak-kanak UKM.
“Kapasiti katil hospital tambahan yang dapat dipertingkatkan untuk tempoh dua minggu lalu adalah 2,884 di sekitar Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya dan jumlah ini akan meningkat melalui langkah yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, kadar vaksinasi di Lembah Klang akan terus dipercepatkan bagi mengurangkan pesakit yang dijangkiti dengan gejala yang serius.
Kredit: BH Online