KUALA LUMPUR – Lambaian tangan kepada petugas media antara reaksi segera Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaik kenderaan membawanya keluar dari pintu utama Istana Negara kira-kira jam 11.50 pagi.
Beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selama hampir satu jam.
Terdahulu, kenderaan membawa beliau yang diiringi polis pengiring memasuki pintu satu Istana Negara sekitar jam 10.53 pagi.
Pagi tadi, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun juga memasuki pintu dua Istana Negara untuk menghadap baginda.
Selesai menghadap, Muhyiddin dijadual ke pejabatnya di Putrajaya untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Sejak pagi tadi, petugas media dan anggota polis sudah memenuhi pekarangan Istana Negara bagi memantau perkembangan terkini isu politik negara.
Kredit: BH Online