KUANTAN – Sebanyak tiga tan durian dan masing-masing satu tan manggis serta rambutan dijual setiap hari menerusi program jualan promosi buah-buahan bermusim di Pasar Segar Terkawal (PST).
Program jualan bermula kelmarin hingga pengeluaran buah berakhir diadakan di pekarangan pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, di sini.
Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan, berkata buah daripada kebun terpilih di beberapa daerah dijual dengan harga berpatutan.
Beliau berkata, pihaknya mendapat bekalan durian, rambutan dan manggis daripada pekebun di Raub dan Jerantut yang kini pengeluaran semakin bertambah.
Katanya, durian dijual dengan harga RM4 sekilogram, rambutan (RM3kg) dan manggis (RM5kg) dan menjangkakan harga akan turun apabila pengeluaran semakin bertambah.
“Program jualan promosi buah-buahan bermusim@PST diadakan bertujuan membantu memasarkan hasil pertanian yang bertambah berbanding sebelum ini.
“Kita bertanggungjawab membantu memasarkan durian, rambutan dan manggis bagi mengelak lambakan dan kerugian pekebun.
“Beberapa daerah terutama Raub, Jerantut, Bentong dan Lipis dikatakan semakin banyak mengeluarkan durian, rambutan dan manggis. Pengeluaran serentak itu boleh mengundang lambakan sekiranya FAMA tidak membantu,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, aktiviti jualan diadakan setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Kredit: BH Online