KUALA LUMPUR – Puluhan Ahli Parlimen pembangkang berarak menuju semula ke Parlimen selepas berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10.20 pagi tadi.
Mereka berarak beramai-ramai berjalan kaki sambil membawa sepanduk tertera ‘Mahiaddin dan Kabinet, letak jawatan’.
Selain Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), turut kelihatan Ahli Parlimen dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).
Terdahulu di Dataran Merdeka, beberapa Ahli Parlimen kelihatan menyampai ucapan antaranya Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Ahli Parlimen bertindak berkumpul di Dataran Merdeka selepas laluan masuk ke Parlimen di sini, dikawal ketat oleh pihak berkuasa selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang dilihat cuba memasuki bangunan itu, pagi ini.
Tinjauan mendapati, beberapa jalan utama menuju ke Parlimen ditutup, menyebabkan kesesakan lalu lintas sekitar Jalan Parlimen, di sini.
Kredit: BH Online