Rezeki Guru, Selepas PdPR Pancing Dapat Ikan Kenerak

LIPIS – Rezeki tidak pernah tersalah alamat.

Begitulah habuan seorang guru, Azmi Ahmad Mahir, 45, yang memperolehi seekor ikan spesies kenerak ketika turun memancing di Sungai Jelai, berdekatan Kampung Ganding, dekat sini semalam.

Guru mata pelajaran Bahasa Melayu itu berkata, dia sudah merancang memancing di sungai tersebut selepas selesai sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan muridnya pada pukul 10 pagi.

“Saya turun ke sungai kira-kira pukul 11 pagi dengan membawa pancing dan umpan anak udangsambil berharap  mendapat ikan.

“Saya tidak tunggu lama cuma kira-kira 20 minit sahaja mata kail direntap kuat dalam arus sungai dan menyangka sudah tentu ikan liar bersaiz besar,” katanya di Kampung Ganding dekat sini hari ini.

Menurut Azmi, memang benar sangkaannya apabila tali pancing ditarik ke permukaan air, nyata seekor ikan kenerak atau nama saintifiknya ‘Bagarius bagarius’ bergumpal cuba melepaskan diri daripada mata kail.

“Dengan bantuan beberapa penternak ikan sangkar yang berdekatan, ikan kenerak dapat dinaikkan ke darat dan saya berasa lega kerana tidak terlepas ke air.

“Selepas ditimbang, ikan kenerak ini seberat sembilan kilogram dan saya amat teruja memperoleh tangkapan ini berbanding sebelum ini cuma bersaiz kecil seperti ikan patin, kerai dan baung,” katanya.

Azmi menjelaskan, oleh kerana tangkapan itu bersaiz besar dan mempunyai nilai komersial, dia mengubah fikiran menjual kepada pengusaha kedai makanan di bandar Kuala Lipis.

“Harga ikan kenerak di pasaran hari ini, iaitu RM40 sekilogram dan saya dikira bertuah memperoleh RM360 cuma dalam waktu singkat. Memang betul kata orang-orang tua, ‘rezeki tidak pernah tersalah alamat’, hanya cepat atau lambat sahaja.

“Apapun saya bersyukur kerana pasaran ikan ini juga modal untuk berbelanja keperluan dapur dalam tempoh penguatkuasaan PKP sekali gus meringankan beban pembiayaan bulanan keluarga,” katanya.

Dia berkata, selain spesies patin dan kelah, ikan kenerak juga kerap menjadi kegemaran pemancing dan mudah ditangkap dengan pancing dan jaring.

“Ikan kenerak ada kualiti rasanya dan memang sedap dimasak asam tempoyak dan kebiasaannya, masyarakat Melayu tinggal pesisir Sungai Jelai di Lipis mencampur isi kenerak dengan masakan asam rong, pucuk paku, cili api yang cukup enak sebagai juadah seisi keluarga dan tetamu,” ujarnya.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *