Rasa Premium Lemak-Lemak Pahit

TEMERLOH – Warna kekuni­ngan menyerlah dan rasa padu lemak manis serta pahit membuatkan durian Chok Villa mula menjadi rebutan penggemar raja buah itu.

Dengan hanya dua pokok yang ada membuatkan durian yang pernah mendapat tempat kedua dalam pertandingan durian kampung premium itu tidak mencukupi menampung permintaan daripada penggemar durian dari dalam dan luar negeri.

Pekebun, Abd. Manan Ishak, 63, berkata, durian yang ditanam oleh arwah bapanya kira-kira 30 tahun lalu itu mendapat tempahan penduduk dalam dan luar Pahang sehingga tidak mampu menampung permintaan.

“Saya ingat lagi arwah ayah membawa balik durian ini yang diberikan Orang Asli di Kuala Krau dan dia berkata ini adalah durian Chok Villa sebelum menanam hampir kesemua bijinya tetapi hanya dua pokok yang menghasilkan buah seperti pokok induk.

“Saya pernah masuk bertan­ding durian kampung premium peringkat negeri dan mendapat tempat kedua hanya kurang satu mata daripada pemenang tempat pertama, mungkin masa itu buah saya agak terjejas kerana dimasukkan dalam peti sejuk,” katanya yang berasal dari Kampung Teluk Ira di sini.

Menurut Abd. Manan buah yang mempunyai isi kekuningan dengan rasa lemak manis dan pahit itu dijualnya dengan harga RM30 sekilogram.

Dia memberitahu, pada musim durian kali ini, setiap pokok durian Chok Villa ber­kenaan menghasilkan purata 70 biji setiap pokok dengan purata berat 2 kilogram sebiji.

“Pada mulanya pokok ini berbunga sangat lebat sehingga saya menjangka boleh lekat sehingga 200 biji, namun akibat cuaca tidak menentu menyebabkan banyak bunga yang gugur.

“Pada masa ini saya juga menghasilkan benih durian Chok Villa untuk ditanam dan saya turut menjualnya kepada pembeli yang sudah membuat tempahan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai nama Chok Villa, beliau menjelaskan, berdasarkan apa yang diketahuinya ia berasal daripada panggilan Jobilang yang bermaksud terbilang dalam masyarakat Orang Asli.

Katanya, dia mengekalkan nama Chok Villa berdasarkan kepada sebutan yang didengari daripada bapanya yang membawa balik durian berkenaan untuk santapan keluarga lebih 30 tahun lalu.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *