KUALA NERUS – Tempoh reman anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang menembak dua jirannya dalam kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang dilanjutkan lima hari lagi.
Suspek berusia 56 tahun itu dibawa anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang ke Mahkamah Majistret Marang pada 10.15 pagi tadi bagi mendapatkan lanjutan reman terhadapnya.
Perintah sambungan reman terhadap suspek itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda selepas tempoh reman tujuh hari bermula 24 Julai lalu berakhir hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, mahkamah membenarkan suspek direman lima hari lagi sehingga 4 Ogos depan.
“Dalam kes ini, siasatan sudah dilaksanakan dan hampir siap dan kita akan merujuk kertas siasatan ini kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.
“Kita akan rujuk (kertas siasatan) minggu depan sebelum reman tamat dan setakat ini, punca kejadian adalah kerana cabar mencabar yang berlaku antara mereka ketika kejadian berkenaan.
“Seorang lagi mangsa yang cedera akibat terkena tembakan sama masih berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala anak saudaranya parah selepas ditembak jirannya menggunakan senapang patah dalam kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang, 23 Julai lalu.
Mangsa, Fong Swee Fuan, 65, yang juga bekas Ketua Bahagian MCA Marang yang cedera di dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, anak saudaranya, Teo Hock Beng, 45, parah di dada akibat terkena tembakan sama.
Kredit: myMetro Online