JERANTUT – Seorang suri rumah di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling di sini memilih sumber tumbuh-tumbuhan tempatan untuk dikomersialkan bagi membantu meringankan beban belanja keluarga.
Tekanan memperoleh pendapatan serta beban perbelanjaan ditanggung suaminya, Zulkfeli Jamaluddin yang bekerja sendiri di kampung itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini perlu dibantu dengan peluang berniaga kecil-kecilan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Aminah Mat Liki, 50, berkata, banyak sumber tempatan yang boleh dikomersialkan bagi memperoleh wang seperti membuat asam keping daripada buah gelugur atau nama saintifiknya, Garcinia atroviridis Griff.
“Tumbuhan liar pokok asam gelugur banyak tumbuh di kawasan hutan tropika Taman Negara dan pinggir kampung ini memudahkan penduduk di sini mengambil dan memproses untuk dijadikan asam keping.
“Permintaan begitu baik di pasaran kerana asam ini cukup popular dalam kalangan orang Melayu sebagai campuran dalam masak lemak, kari, asam tempoyak ikan sungai, singgang dan sebagainya,” katanya di Kampung Kuala Sat di sini semalam.
Ibu kepada lima orang anak itu berkata, dia mewarisi cara memproses asam gelugur daripada ibunya yang mana pada awalnya untuk disimpan di dapur bagi kegunaan masakan ahli keluaranya, tetapi beralih berniaga kecil-kecilan setelah pelaksanaan PKP.
Katanya, buah gelugur yang ranum warna kekuning-kuningan banyak gugur ke tanah boleh dipungut dan ada juga penduduk yang mengait terus daripada atas pokok.
“Buah ini kemudian dibasuh dan dihiris nipis-nipis dijadikan kepingan untuk memudahkannya dijemur di panas terik matahari selama beberapa hari.
“Isi keping asam gelugur akan bertukar menjadi warna coklat dan kehitaman selepas dijemur dan bolehlah digunakan untuk campuran ke dalam masakan tradisional berasaskan ikan liar Sungai Tembeling bagi penduduk pedalaman Hulu Tembeling,” katanya.
Dia berkata, asam keping yang siap diproses dijual dengan harga RM4 dalam ukuran kuantiti tin susu pekat dan memperoleh pendapatan antara RM8 hingga RM100 dalam tempoh seminggu.
“Hasil jualan asam keping ini, bolehlah menampung perbelanjaan harian bagi memastikan ‘dapur rumah sentiasa berasap’ dalam tempoh PKP seterusnya dapat menjimatkan perbelanjaan,” ujarnya.
Kredit: Utusan Online