KOTA BHARU – Seorang kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) maut selepas kenderaan dipandunya melanggar pencawang elektrik kerana mengelak seekor babi.
Kejadian berlaku jam 7 pagi tadi di Jalan Salor Baru di sini, menyebabkan Dozian Harun, 53, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata mangsa yang memandu kereta bersama anak lelakinya yang berusia 21 tahun dalam perjalanan dari Kota Bharu, untuk pulang ke rumah mereka di Tanah Merah.
“Sampai di tempat kejadian, seekor babi tiba-tiba melintas di hadapan kenderaan dan pemandu cuba mengelak, namun disebabkan jarak yang terlalu dekat, kereta yang dipandu hilang kawalan.
“Kenderaan itu kemudiannya melanggar peti pencawang elektrik dan pemandu mengalami kecederaan parah di kepala akibat terhantuk,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Abdul Rahim berkata, mangsa dikejarkan ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi.
Katanya, anak lelaki mangsa mengalami luka ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kredit: BH Online