KOTA BHARU – Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (USM) (PADU) mencadangkan kerajaan supaya berusaha menambah bilangan Perjawatan Tetap Pegawai Perubatan UD43/44 mengikut bilangan realistik seiring dengan keperluan negara.
Presiden PADU, Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah, berkata kejayaan kerajaan dalam menangani permasalahan tersebut adalah refleksi terhadap kesungguhan dalam pemulihan sistem kesihatan yang semakin tenat dengan situasi pandemik sekarang ini di samping mengekalkan keharmonian profesion (fraterniti) perubatan.
Beliau berkata, persatuan itu menyambut baik keputusan Kabinet yang bersetuju pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan kontrak perkhidmatan untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.
Beliau dalam satu kenyataan menganggap keputusan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib doktor perubatan selaku barisan hadapan yang terpaksa bertempur sepanjang pandemik COVID-19.
“PADU ingin berterima kasih terhadap kerajaan serta semua pihak yang terlibat. Sekurang-kurangnya langkah ini adalah inisiatif dan kesungguhan kerajaan dalam menambah baik sistem kontrak yang semakin kronik ini.
“Umum mengetahui permasalahan pegawai perubatan kontrak menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat terutama kepada pihak yang terkesan, sekali gus menyebabkan kekecewaan dan demotivasi dalam kalangan mereka sedangkan majoriti mereka ini terbabit di barisan hadapan bagi menghadapi pandemik COVID-19 di pelbagai posisi,” katanya.
Dr Jafri Malin berkata, pegawai perubatan kontrak ini diwujudkan sejak Disember 2016 dengan matlamat yang baik bertujuan untuk mengatasi kekangan perjawatan tetap sekali gus membolehkan pengambilan pegawai perubatan dapat dibuat tanpa bergantung kepada kekosongan tetap yang terhad.
“Kami sedar, masalah lambakan pegawai perubatan adalah satu masalah kronik yang diwarisi hasil kesilapan strategi perancangan pentadbiran terdahulu.
“Maka proses pemulihan memerlukan perancangan rapi dan pelan strategi jangka panjang yang jelas,” katanya.
Beliau berkata, PADU meletakkan harapan tinggi kepada pihak kerajaan supaya benar-benar serius dalam merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.
Kredit: Bernama