BENTONG – Polis tidak pernah menghalang misi kemanusiaan mana-mana pihak bagi menghantar bantuan kepada golongan yang memerlukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara ketika ini.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, semua pihak yang menguruskan misi bantuan perlu jelas dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, mereka perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang kemudiannya disalurkan kepada Pusat Kawasan Operasi Bencana (PKOB).
“MKN sudah menetapkan SOP bahawa semua misi bantuan mesti dilaksanakan oleh PKOB sama ada negeri atau daerah, kita sudah selaraskan supaya penyampaian nanti lebih teratur.
“Kita ada sistem berpusat yang mengenal pasti siapa yang layak menerima bantuan agar bantuan itu disalurkan dengan lebih tersusun dan sistematik sekali gus menyekat sebarang kemungkinan pembawaan Covid-19 daripada luar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan dan menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Bentong di sini, hari ini.
Turut hadir Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.
Semalam 10 kenderaan membawa bantuan misi kemanusiaan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) yang dalam perjalanan ke Terengganu diarah berpatah balik di SJR Plaza Tol Bentong kerana gagal menunjukkan surat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau Jawatankuasa Bencana Daerah.
Sebelum itu tiga lori yang membawa bantuan misi kemanusiaan pendakwah terkenal, Ebit Lew turut diarahkan berpatah balik di SJR Plaza Tol Bentong kerana gagal mengemukakan surat kebenaran sama.
Zaini berkata, semua pihak yang ingin sama-sama memberikan sumbangan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dalam usaha mengekang pandemik Covid-19 dan memastikan bantuan dapat diselaraskan.
Sementara itu beliau berkata, petugas di SJR yang sudah melalui tempoh penugasan yang lama akibat pandemik Covid-19 masih bersemangat dan mempunyai motivasi yang tinggi untuk meneruskan tugasan dengan baik.
Katanya, pusingan tugas yang dilaksanakan selain dorongan dan motivasi diberikan kepada mereka secara berterusan memastikan mereka terus komited menjalankan tugas dengan baik sehingga berakhirnya pandemik Covid-19.
“Kami di Bukit Aman sentiasa prihatin turun ke padang memberi kaedah bagaimana meningkatkan motivasi dan kerajaan turut memberi elaun khas kepada petugas, kami tidak pernah terima rungutan dan kita ada ramai yang membantu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Kredit: myMetro Online