Tiada Isu Lambakan Tomato

CAMERON HIGHLANDS – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengakui ada pekebun membuang tomato yang rosak dan tidak terjual sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, namun ia hanya amalan biasa pekebun, bukannya disebabkan lambakan buah itu.

Pengarah Fama, Ramli Mat Sani berkata, pihaknya ada bertemu pekebun tomato di sini, selain di Lojing, Kelantan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan, pekebun hanya membuang tomato yang rosak dan tidak boleh dijual, namun jumlahnya tidak terlalu banyak hingga berlaku pembaziran serta merugikan mereka.

Katanya, pekebun mendakwa walaupun kerajaan melaksanakan PKP 3.0, pasaran tomato dan sayuran lain berjalan lancar meskipun jumlahnya agak berkurangan berbanding sebelum ini.

“Saya tidak pasti kebenaran berita sebelum ini yang mendakwa pekebun tomato di Lojing dan Cameron Highlands membuang tomato kerana tidak dapat memasarkan keluaran pertanian mereka disebabkan sekatan perjalanan oleh pihak berkuasa selain tidak mendapat permintaan pengguna.

“Kerajaan tidak pernah menghalang perjalanan lori yang membawa muatan sayur dari Cameron Highlands ke beberapa pasar borong, pasar raya dan lokasi jualan lain kerana produk pertanian berkenaan sentiasa diperlukan oleh pengguna,” katanya dihubungi.

Beliau berkata, sebelum ini dia mengadakan lawatan ke pusat pengumpulan tomato di Lojing untuk bertemu dengan pekebun, rata-rata mereka mendakwa kerugian sekiranya tomato dibuang tanpa sebab.

Katanya, semua gred tomato boleh dipasarkan cuma bezanya adalah harga, pilihan terletak di tangan pengguna.

Pekebun, Goh Ka Keng, 35, berkata, dia tidak percaya pekebun sayur di Lojing sanggup bertindak membuang buah tomato mereka kerana dikatakan hasil pertanian itu tidak dapat dipasarkan berikutan PKP 3.0 sebelum ini.

Katanya, memang ada tomato dibuang oleh pekebun setiap minggu, ia dibuang kerana beberapa sebab antara kerana buah rosak, cacat, buruk dan tidak masak.

“Terdapat juga pekebun yang menjual buah kurang berkualiti pada harga lebih murah bagi mengelak daripada membuangnya, rugi sekiranya terlalu banyak dibuang kerana kos pertanian kini semakin tinggi.

“Saya mengusahakan tanaman tomato seluas kira-kira 12 hektar, setiap hari lebih tiga tan buah tomato dikutip untuk pasaran tempatan dan eksport.

“Setiap minggu saya hanya membuang antara 100 hingga 150 kilogram tomato rosak, pekebun lain juga berbuat demikian bergantung pada keluasan kebun yang diusahakan,” katanya.

Sebelum ini tular apabila terdapat dakwaan berlakunya lambakan tomato hingga memaksa pekebun bertindak membuang hasil pertanian mereka.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *