Memilih Moratorium Antara Kehendak, Keperluan Mendesak

MORATORIUM atau ‘cuti daripada pembayaran’ adalah amalan perbankan yang kedengaran agak asing dalam masyarakat sehingga kita dilanda pandemik COVID-19.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, kita menyaksikan kumpulan B40 paling awal terkesan dengan pandemik berikutan kehilangan punca pendapatan.

Impak penyebaran COVID-19 berlarutan dan lanjutan PKP hingga hari ini, ramai anggota masyarakat mulai terkesan akibat pemberhentian aktiviti ekonomi bukan keperluan utama. Ini termasuk industri pelancongan seperti perhotelan, pengangkutan dan lain-lain.

Hari ini, dilaporkan 600,000 golongan M40 tergelincir ke dalam kategori B40 akibat kehilangan pekerjaan dan pendapatan, ditambah komitmen sedia ada yang tinggi.

Jumlah ini kian bertambah, lantas timbul keperluan tinggi kepada penangguhan komitmen bayaran membabitkan pembiayaan bank bagi mengurangkan liabiliti sedia ada masyarakat.

Moratorium adalah satu pilihan ditawarkan kepada individu, perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beberapa asas kepada inisiatif pelaksanaan moratorium oleh institusi perbankan Islam termasuk konsep ihsan dan rafu’ al-haraj (menghilangkan kesukaran).

Penawaran penangguhan komitmen pembayaran bulanan pembiayaan dalam kalangan golongan yang terkesan adalah satu tanggungjawab sosial bersama yang perlu dilaksanakan institusi perbankan bagi mengurangkan kesusahan masyarakat.

Namun, terdapat perbezaan antara syarat dikenakan ke atas moratorium yang dilaksanakan moratorium terdahulu dan kini oleh institusi kewangan Islam yang perlu diambil kira masyarakat.

Sudah tentu, perubahan ini mengambil kira kelestarian kewangan bank yang memberi penangguhan pembayaran kepada pelanggan sejak pelaksanaan terdahulu.

Perkara utama yang berbeza ialah membabitkan penetapan keuntungan terakru yang dikenakan ke atas pelanggan, meliputi semua jenis pembiayaan.

Moratorium terkini mensyaratkan pelanggan membuat pembayaran tambahan ke atas keuntungan ditangguhkan pada akhir tempoh pembiayaan.

Adakah syarat berbeza ini akan memberi kesan kepada pelanggan dan sejauh mana implikasinya?

Pendidikan celik kewangan perlu diterapkan secara berkesan kepada keseluruhan masyarakat.

Pelanggan perlu diberi kejelasan bahawa setiap produk pembiayaan Islam dan cirinya sama ada dari segi kontrak (seperti tawarruq dan ijarah thumma al-bay’), kaedah pembayaran dan asas peratusan keuntungan (sama ada kadar tetap dan berubah) yang dikenakan bank kepada pelanggan memberi implikasi jangka panjang kepada mereka.

Pelanggan juga perlu jelas dalam pembiayaan berasaskan keuntungan, jumlah pokok dan keuntungan perlu dilunaskan seperti terdapat dalam perjanjian dan ini juga sangat berkaitan jenis kadar keuntungan dikenakan.

Dalam suasana pandemik hari ini, keputusan memilih moratorium perlu dibuat sebaiknya berikutan ada kos perlu ditanggung dan dibayar pelanggan pada kemudian hari.

Bagi yang terkesan, moratorium boleh dipertimbangkan dalam konteks adakah ia menjadi sesuatu pilihan bagi memenuhi keperluan mendesak atau bagi memenuhi keinginan memiliki sesuatu kehendak.

Simpanan daripada moratorium perlu digunakan untuk keperluan penting antaranya perbelanjaan harian, pembayaran bil, perbelanjaan pendidikan kerana pada kemudian hari akan ada kos perlu dibayar.

Diharapkan pihak berkuasa dan institusi perbankan perlu memberi maklumat pelaksanaan moratorium yang jelas dan dalam bahasa paling mudah difahami, bukannya bahasa terlalu bersifat bombastik.

Sangat penting bagi pelanggan mendapatkan makluman dalam bentuk sebegini bagi membuat keputusan sewajarnya.

Profesor Madya di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *