LIPIS – Sudah lebih setahun sekumpulan pelajar dari Kampung Relai, Kerambit di sini, terpaksa belajar di atas bukit berhampiran lombong bijih timah demi mendapatkan capaian internet ketika mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR).
Semua pelajar itu terpaksa berulang-alik ke lokasi berkenaan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka untuk mengikuti kelas PdPR.
Penduduk, Arifudin Shari, 25, berkata ketiadaan capaian internet dan masalah liputan komunikasi menyukarkan pelajar untuk mengikuti sesi pembelajaran, termasuk menjawab soalan melalui PdPR.
“Saya tidak tahu bilakah masalah ini akan berakhir kerana sudah lebih setahun pelajar mengikuti PdPR di atas bukit kerana ketiadaan capaian internet walaupun kampung ini hanya terletak kira-kira 25 kilometer (km) dari bandar Kuala Lipis.
“Kalau kampung ini terletak jauh di pedalaman saya tidak pelik juga, tetapi cuma 25km dari bandar Kuala Lipis. Agak menghairankan apabila kampung sebelah, Kampung Pusu menerima capaian internet,” katanya ketika ditemui.
Arifudin berkata, berikutan masalah itu dia mengambil inisiatif membersihkan kawasan dan membina sebuah pondok daripada kayu dan papan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama untuk anak saudaranya mengikuti kelas PdPR bersama rakan.
“Kawasan itu agak jauh dari rumah dan untuk sampai ke sana agak mencabar kerana terpaksa menaiki motosikal melalui laluan tanah merah, semak samun dan berbukit.
“Pondok kayu berlantaikan papan dan beratapkan plastik ini sudah beberapa kali dibaikpulih kerana runtuh setiap kali ditiup angin kencang, tetapi itulah setakat yang mampu saya sediakan untuk mereka,” katanya.
Sementara itu, pelajar, Mohamad Ainul Safwan Mohamad Hazri, 17, berkata apabila ada kelas PdPR dia bersama rakannya akan ke bukit berkenaan.
“Seawal jam 7.30 pagi kami sudah bertolak dari rumah dengan menunggang motosikal dan mengambil tempoh kira-kira 20 minit untuk tiba.
“Selepas kelas tamat, kami berbincang sesama sendiri dan biasanya pulang ke rumah pada waktu tengah hari.
“Walaupun terpaksa belajar dalam keadaan yang tidak selesa dengan berlantaikan papan tanpa meja serta keadaan cuaca panas tanpa tempat berteduh, kami tetap reda,” katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Agama Relai itu berharap pihak berwajib dapat mengatasi masalah capaian internet di kampung berkenaan segera bagi memudahkan pelajar mengikuti pembelajaran PdPR kerana tidak lama lagi akan menghadapi peperiksaan.
Kredit: BH Online