PASIR PUTEH – Pasangan suami isteri yang menyambut Hari Raya Aidiladha berdua di rumah mereka di Kampung Gong Manak di sini, mengirim ketupat palas kepada empat anak mereka tidak dapat balik beraya.
Dua daripadanya adalah anggota tentera yang cuti mereka dibekukan kerana dikehendaki bertugas mengawal sekatan jalan raya (SJR) di dua lokasidi Kuantan, Pahang serta Pasir Mas, dekat sini.
Dua lagi anak pasangan itu, masing-masing menetap dan mencari rezeki di Kuala Lumpur serta Selangor pula tidak dapat pulang beraya kerana larangan rentas sempadan negeri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mat Wani Jusoh, 63, berkata, lazimnya, setiap kali sambutan Aidiladha atau Aidilfitri, dia bersama isteri, Norma Adam, 50, wajib menyediakan sekurang-kurangnya hidangan ayam kampung, nasi dagang serta ketupat palas.
Mengakui sedih dan pilu kerana masih terpisah daripada anak-anak, dia berharap kiriman itu dapat mengubat kerinduan anak-anak terhadap kedua-dua orang tua mereka.
“Empat anak kami kini hanya berhubung menerusi panggilan video untuk melepaskan rindu dan bertanya khabar.
“Kami reda terpaksa beraya berdua sekali lagi dan berharap pandemik Covid-19 ini cepat-cepatlah reda supaya kita semua boleh kembali kepada kehidupan asal,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Norma pula berkata, bagi mengisi kesunyian, dia menghabiskan masa membuat ketupat serunding daging kegemaran anak-anak supaya mereka dapat menikmatinya walaupun tinggal berjauhan.
“Kami pos ketupat seawal mungkin kepada anak-anak supaya sampai ke tangan mereka sebelum raya. Paling utama, saya tidak mahu mereka kempunan untuk menikmati ketupat serunding daging pada pagi raya,” katanya.
Kredit: Utusan Online